fb fb fb fb fb

ASA 2022 rai penggiat seni tanah air

(Foto hiasan)

PUTRAJAYA, 29 Oktober- Selepas enam tahun 'sepi', Anugerah Seri Angkasa 2022 (ASA 2022) kini kembali meraikan penggiat industri seni kreatif bagi merancakkan semula sektor itu yang terjejas akibat COVID-19.

Bersesuaian dengan tema ‘Kemuncak Kecemerlangan’ penganjuran selama dua hari bermula hari ini diadakan secara gilang-gemilang dengan hamparan karpet merah menanti kehadiran penggiat seni kreatif di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Tema ‘Kemuncak Kecemerlangan’ itu bersesuaian dengan usianya yang memasuki 50 tahun selain bertepatan hasrat Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) untuk menjadikan anugerah itu sebagai pemangkin dalam penghasilan karya bermutu industri penyiaran khususnya di peringkat nasional.

ASA 2022 pada malam pertama akan dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa manakala malam kemuncak sambutan esok dijangka diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

ASA dahulunya dikenali sebagai Anugerah RTM, yang dicetuskan Kementerian Penerangan Malaysia pada 1972, bertujuan mengiktiraf penggiat penerbitan program radio dan televisyen terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Kemudian, anugerah berprestij ini berkembang dalam tempoh 33 kali penganjuran, yang menyaksikan pertambahan dalam aspek kategori dan pencalonan.

(Pintu gerbang RTM)

Bagi tahun ini, ASA 2022 menerima 1,354 pencalonan dengan 1,035 pencalonan adalah bagi Kategori Televisyen, 276 Kategori Radio dan 43 untuk Kategori Media Baharu, yang buat julung kalinya diperkenalkan sesuai dengan peredaran zaman yang kini ke arah digital.

Antara stesen media yang menyertai pencalonan ASA 2022 adalah Alhijrah Media Corporation, Bahagian Penyiaran Jabatan Kemajuan Islam, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan stesen televisyen yang lain.

Seramai 55 juri dan dua juruaudit terdiri daripada pemain industri yang berpengalaman luas dalam industri akan menilai kesemua pencalonan dengan adil dan telus.

Buat julung kalinya, pemenang ASA 2022 turut menerima hadiah berbentuk wang tunai bagi setiap kategori yang dimenangi selain trofi.

Tokoh Anugerah Seri Angkasa 2022 dan Tokoh Anugerah Khas Juri masing-masing akan turut diberikan hadiah berupa wang tunai.

Dua pemenang kategori utama iaitu Drama Terbaik dan Dokumentari Terbaik juga akan menerima Dana Kandungan Digital (DKD) masing-masing sebanyak RM200,000 dan RM150,000.

Ia bertujuan membantu dan menggalakkan pengamal industri kreatif menghasilkan, memasarkan dan mengedar kandungan kreatif kepada pasaran tempatan serta antarabangsa terutama dalam fasa pasca-COVID-19.- BERNAMA

Media Baharu