fb fb fb fb fb

Artis rap K'naan didakwa dengan tuduhan serangan seksual

Penyanyi rap Somali-Kanada, K'naan

MONTREAL, 27 September- Penyanyi rap Somali-Kanada, K'naan, yang terkenal dengan lagu hit "Wavin' Flag" yang menjadi lagu rasmi untuk Piala Dunia bola sepak 2010, didakwa pada Khamis dengan serangan seksual di Quebec City, menurut media tempatan.

Rapper berusia 47 tahun itu, yang nama sebenarnya ialah Keinan Abdi Warsame, dituduh melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita berusia 20-an di bilik hotel pada bulan Julai 2010 ketika dia berada di bandar Kanada itu untuk satu festival muzik.

Mangsa yang didakwa telah membuat aduan kepada polis pada Mei 2022.

Peguamnya bagaimanapun telah membuat pengakuan tidak bersalah bagi pihaknya. Dilaporkan bahawa K'naan tidak hadir pada prosiding itu.

Pendengaran awal kes dijadualkan pada April 2025.

Dilahirkan pada 1978 di Mogadishu, rapper yang melarikan diri dari negara Afrika yang dilanda peperangan itu pada usia 13 tahun membesar di Toronto. Dia mula beralih kepada muzik rap untuk belajar bahasa Inggeris tetapi kini tinggal di New York, Amerika Syarikat.

Kritikannya terhadap Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk pelarian pada tahun 1999 menarik perhatian bintang Senegal, Youssou N'Dour, yang menjemputnya untuk menyumbang kepada album, yang akhirnya melancarkan kerjaya muziknya.

Lagu "Wavin' Flag" yang membawa tema Somalia mengatasi kesukarannya, dikeluarkan pada 2009 dalam album K'naan "Troubadour."

Ia diolah semula sebagai lagu amal selepas gempa bumi 2010 di Haiti, menampilkan pelbagai penyanyi Kanada, termasuk Justin Bieber dan Drake.

Coca-Cola menggunakan versi yang lebih meraikan lagu tersebut sepanjang Piala Dunia 2010 yang dihoskan oleh Afrika Selatan.

K'naan mengambil rehat panjang selepas albumnya "Troubadour", tetapi kembali pada 2023 dengan muzik baharu yang memberikannya anugerah merit khas untuk lagu terbaik bagi perubahan sosial daripada Recording Academy.

Dia juga membuat debut sebagai pengarah dengan filem "Mother Mother" di Festival Filem Antarabangsa Toronto awal bulan ini.

Minggu ini, Persatuan Komposer, Penulis Lagu dan Penerbit Muzik Kanada memberikan K'naan anugerah atas impak budaya yang berterusan dari "Wavin' Flag" di seluruh dunia. -AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE