fb fb fb fb fb

Anak Elvis Presley kena serangan jantung

(Lisa Marie Presley /AFP)

LOS ANGELES, 13 Januari- Lisa Marie Presley dikejarkan ke hospital di California pada Khamis, kata ibunya, dengan media AS melaporkan dia berada dalam rawatan rapi berikutan serangan jantung.

Anak perempuan Elvis Presley yang berusia 54 tahun itu sedang berada dalam keadaan koma dan memerlukan bantuan hayat, lapor laman web hiburan TMZ, memetik sumber yang tidak dinamakan.

TMZ berkata Presley tidak sedarkan diri apabila penjaga rumahnya menemuinya pada pagi Khamis di pinggir bandar Calabasas.

Bekas suaminya, Danny Keough, yang juga tinggal di hartanah itu, melakukan CPR sehingga paramedik tiba dan membawanya ke hospital.

TMZ berkata sumbernya menegaskan ia bukan percubaan bunuh diri oleh penyanyi itu.

Priscilla Presley mengesahkan anak perempuannya sakit menerusi laman Facebook .

“Anak perempuan kesayangan saya Lisa Marie dikejarkan ke hospital,” tulisnya.

“Dia kini mendapat penjagaan yang terbaik. Tolong ingati dia dan keluarga kami dalam doa anda.

"Kami merasakan doa dari seluruh dunia, dan meminta privasi pada masa ini."

Jabatan Bomba Daerah Los Angeles, yang menjalankan perkhidmatan paramedik, tidak akan mengesahkan identiti pesakit, tetapi memberitahu media bahawa kru mereka telah merawat seorang wanita berusia pertengahan 50-an yang mengalami serangan jantung sekitar pukul 10:30 pagi.

Pegawai publisiti Lisa Marie Presley bagaimanapun tidak memberi sebarang kenyataan ketika dihubungi AFP.

Lisa MArie dan ibunya dilihat bersama pada Selasa di anugerah Golden Globe di Beverly Hills, di mana Austin Butler dianugerahkan Pelakon Lelaki Terbaik dalam drama untuk peranannya sebagai legenda rock 'n roll Elvis Presley dalam filem biopik Baz Luhrmann "Elvis."

Butler, yang prestasi cemerlangnya mendapat pujian ramai, mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua wanita itu semasa ucapan penerimaannya.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penerbit kami yang luar biasa dan Warner Bros. serta keluarga Presley. Terima kasih, kawan-kawan. Terima kasih kerana membuka hati anda, kenangan anda, rumah anda kepada saya. Lisa Marie dan Priscilla, saya sayang kamu selamanya," Butler berkata.

Lisa Marie Presley adalah anak tunggal Elvis. Dia sebelum ini mengendalikan Elvis Presley Enterprises, tetapi menjual sebahagian besar saham dalam syarikat itu kepada firma ekuiti persendirian pada tahun 2005.

Dia mengekalkan kawalan Graceland, ladang Memphis, Tennessee milik bapanya dan tempat dia ditemui tidak sedarkan diri pada Ogos 1977.

Elvis dibawa ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung. Laporan toksikologi mendapati tahap tinggi ubat preskripsi dalam sistemnya.

Lisa Marie Presley telah mengeluarkan tiga album abad ini, dan merupakan ibu kepada pelakon Riley Keough, yang muncul dalam "Mad Max: Fury Road."

Selain Danny Keough, yang diceraikannya pada tahun 1994, dia juga telah berkahwin dengan Nicolas Cage, Michael Jackson dan pelakon/komposer Michael Lockwood.-AFP


(Lisa Marie Presley dan ibunya Priscilla Presley)

Media Baharu