(Lisa Marie Presley / REUTERS)
LOS ANGELES, 13 Januari- Lisa Marie Presley, seorang pemuzik yang juga anak perempuan tunggal kepada legenda rock 'n' roll Elvis Presley, meninggal dunia pada Khamis selepas dikejarkan ke hospital di kawasan Los Angeles, menurut ibunya.
"Dengan berat hati saya mesti berkongsi berita yang mendukacitakan bahawa anak perempuan saya Lisa Marie telah meninggalkan kami," kata ibunya, Priscilla Presley, dalam satu kenyataan. Lisa Marie Presley berumur 54 tahun.
"Dia adalah wanita paling bersemangat, kuat dan penyayang pernah saya kenali. Kami meminta privasi ketika kami cuba menangani kehilangan yang mendalam ini," tambah kenyataan itu.
Lisa Marie Presley mengalami serangan jantung di rumahnya di pinggir bandar Los Angeles Calabasas, menurut laman web hiburan TMZ. Dia kemudian dibawa ke hospital pada Khamis.
Lisa dilahirkan pada tahun 1968 dan merupakan pemilik rumah agam Graceland bapanya di Memphis, lokasi tarikan pelancong popular. Dia berumur sembilan tahun ketika Elvis meninggal dunia di Graceland pada tahun 1977.
Kerjaya muziknya bermula dengan album sulung 2003 "To Whom It May Concern", diikuti "Now What" 2005, dan kedua-duanya mencecah 10 teratas dalam carta album Billboard 200.
Album ketiga, "Storm and Grace," dikeluarkan pada tahun 2012.
Dia telah berkahwin empat kali. Dia berkahwin dengan bintang pop Michael Jackson, pada 1994, hanya 20 hari selepas bercerai dengan suami pertamanya, pemuzik Danny Keough.
Pasangan berprofil tinggi itu bercerai pada 1996 ketika Jackson sedang bergelut dengan dakwaan pencabulan kanak-kanak.
Lisa Marie kumudiannya berkahwin dengan pelakon Nicholas Cage, peminat bapanya, pada tahun 2002. Namun, Cage memfailkan perceraian empat bulan kemudian.
Perkahwinan keempatnya adalah dengan pemain gitar dan penerbit muziknya Michael Lockwood. Pasangan itu berpisah dan perceraian mereka dimuktamadkan pada 2021.
Dia mempunyai empat orang anak. Anak lelaki tunggalnya, Benjamin Keough, meninggal dunia pada 2020 pada usia 27 tahun manakala anak perempuannya Riley Keough, 33, ialah seorang pelakon.
Dua lagi anak perempuannya, pasangan kembar Harper dan Finley Lockwood, 14.-REUTERS
(Lisa Marie Presley dan bekas suaminya Michael Jackson / REUTERS)