(Ali XPDC semasa temu bual bersama RTM tahun lalu/Gambar fail)
KUALA LUMPUR, 11 Mac- Penyanyi, Ali XPDC, 53, yang dimasukkan ke Hospital Ampang, Jumaat lalu dan terpaksa ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas semalam kini stabil.
Menurut isterinya, Sharifah Syarzana, doktor memaklumkan Ali akan disedarkan petang ini, namun buat masa ini jantung penyanyi berkenaan masih dalam pemantau pihak hospital.
"Pagi tadi pakar sudah periksa, Alhamdulillah keadaannya beransur baik, tiada darah beku dalam kepala, tiada jangkitan kuman pada paru-paru," katanya.
"Cuma pakar nak buat pemeriksaan lanjut jantung dia. Insya-Allah petang ini kemungkinan besar Ali akan disedarkan semula," katanya menerusi aplikasi Whatsapp kepada BDiva.
Sebelum ini, Sharifah menerusi kiriman suara kepada rakannya memberitahu kesihatan Ali agak mencemaskan.
Dia juga memohon semua peminat terutama rakan suaminya itu melakukan solat hajat dan bacaan Yassin untuk kesejahteraan Ali.
Manakala Facebook Sahabat XPDC semalam memuat naik perkembangan terbaru Ali yang semakin sihat dan mula diajar melakukan aktiviti ringan.
(Poster Konsert Jualan Hitam 2022 XPDC yang dijadual esok ditunda ke 25 Mac ini/Foto FB Sahabat XPDC)
Hantaran itu memaklumkan, Ali juga dikhabarkan sudah boleh bercakap walaupun keadaan separuh badan di bahagiah sebelah kanannya masih lemah.
"Ali tidak dijangkiti COVID-19, cuma sebelum ini dia diletakkan di wad saringan, apapun Ali masih lagi tidak boleh menerima pelawat.
"Ahli keluarga minta semua peminat dan sahabat untuk doakan dan membuat solat hajat agar kesihatan Mohd Ali Bin Ismail kembali sembuh dan pu;lih seperti dulu," menurut hantaran Facebook berkenaan.
Terdahulu, Ali dikejarkan ke Hospital Ampang, Jumaat lalu apabila tiba-tiba didapati tidak bermaya ketika mahu makan selepas selesai berlatih di studio milik pemain bass XPDC, Eddie di Pandan Indah.
Mereka berlatih sebagai persiapan untuk Konsert Jualan Hitam 2022 yang akan berlangsung di Warisan Hall Studio, Banting pada 12 Mac ini.
Berhubung konsert Konsert Jualan Hitam 2022 yang akan berlangsung di Warisan Hall Studio, Banting dijadual berlangsung esok, ppenganjur dalam satu kenyataan memaklumkan menunda tarikh konsert itu kepada 25 Mac ini.
Sebelum ini Ali pernah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), selepas mengalami serangan jantung pada September lalu.