fb fb fb fb fb

Bintang 'Squid Game' dipenjara lapan bulan, bersalah atas dakwaan serangan seksual

Pelakon 'Squid Game' Korea Selatan O Yeong-su

SEOUL, 15 Mac- Pelakon 'Squid Game' Korea Selatan O Yeong-su telah didapati bersalah atas salah laku seksual, kata mahkamah tempatan pada Jumaat, selepas dia didakwa menyerang seorang wanita pada 2017.

Lelaki berusia 79 tahun itu pada 2022 menjadi warga Korea Selatan pertama yang memenangi Anugerah Golden Globe untuk pelakon pembantu terbaik.

Pelakon itu dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan, digantung selama dua tahun, kata Mahkamah Daerah Suwon Cawangan Seongnam kepada AFP.

Dia juga telah diperintahkan untuk menyelesaikan 40 jam kelas mengenai keganasan seksual.

"Rekod mangsa sendiri mengenai serangan dan dakwaannya adalah konsisten" kata Hakim Jeong Yeon-ju.

O Yeong-su didakwa pada 2022 tanpa ditahan atas tuduhan melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita, dalam dua kejadian.

Insiden itu berlaku ketika O Yeong-su tinggal di kawasan luar bandar untuk persembahan teater pada 2017, masing-masing di laluan berjalan kaki dan di hadapan kediaman mangsa, menurut Mahkamah Daerah Suwon.

'Squid Game' adalah siri televisyen drama survival Korea Selatan yang ditulis dan diarahkan oleh Hwang Dong-hyuk untuk servis penstriman Netflix.

Ia menceritakan kisah sekumpulan orang yang mempertaruhkan nyawa mereka dalam permainan kelangsungan hidup misteri dengan hadiah ₩45.6 bilion.

Dalam masa kurang daripada empat minggu dari tayangannya pada 2021, ia telah menarik 111 juta tontonan.

Kejayaan siri itu telah menguatkan pengaruh Korea Selatan yang semakin besar terhadap budaya popular, berikutan kemasyhuran global yang dimenangi oleh kumpulan K-pop BTS dan filem pemenang Oscar "Parasite".-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE