fb fb fb fb fb

'Air mata menjadi saksi, rinduku berbalas' - Awie

(Awie meluangkan masa bersama anak-anaknya di sebuah hotel di ibu kota)

KUALA LUMPUR, 2 Julai - "Air mata menjadi saksi. Rinduku berbalas," itu luahan kegembiraan dan syukur Datuk Awie yang akhirnya bertemu dengan dua orang anaknya Putra Ahmad Rezzki, 15, dan Putri Qasseh Antasha, 13 tahun.

Awie atau Ahmad Azhar Othman, 55, berpeluang bertentang mata dengan anak kandungnya selepas terpisah selama lapan tahun.

Penyanyi kumpulan Wings itu berkongsi gambar pertemuan selama dua hari iaitu kelmarin dan semalam menerusi hantaran di Facebooknya.

Pertemuan yang dinanti-nantikannya selama ini turut disertai isterinya, Datin Sharifah Ladyana Syed Samsuddin dan anak lelaki mereka serta tiga lagi anak Awie iaitu Putri Aleeya Antasha, 23, Putri Aleefa Antasha, 21, dan Putra Ahmad Merrah, 16.

“Terima kasih Allah kerana mendengar doa-doaku. Sekian lama terpisah akhirnya dapat aku bertemu dengan anak-anakku. Syukur Ya Allah.

“Air mata menjadi saksi. Rinduku berbalas. Anak-anakku dunia akhirat. Moga bahagia hingga ke jannah. Terima kasih isteriku. Terima kasih kepada ibu anak-anakku.

“Moga ini menjadi titik permulaan baik untuk semua. Allahuakbar,” tulisnya.

(Awie dan isteri bersama enam orang anaknya)

Awie pernah berkongsi hasratnya itu ketika ditemui pada malam gala filem terbitannya, Sue-On pada 27 Jun lalu.

Katanya, sambutan Aidiladha tahun ini antara momen paling bermakna dalam hidupnya kerana mungkin dapat bertemu dengan Rezzki dan Qasseh yang kini di bawah jagaan bekas isterinya, Rozana Misbun.

Menerusi perkahwinan dengan Rozana pada 20 Jun 2005, mereka dikurniakan tiga anak iaitu tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, Putra Ahmad Rezzki, dan Puteri Qasseh Antasha.

Pasangan itu kemudian bercerai secara sah pada 1 November 2014 dan Merrah kini tinggal bersama Awie.

Awie juga memiliki dua cahaya mata menerusi perkahwinan pertama dengan penyanyi, Arni Nazira iaitu Putri Aleeya Antasha dan Putri Aleefa Antasha.

Pada 7 Oktober 2016, Awie mendirikan rumah tangga bersama Sharifah Ladyana dan dikurniakan seorang anak lelaki pada 2020.

Media Baharu