fb fb fb fb fb

Afgan Live In Penang 2024: Konsert solo terbesarnya di Malaysia

Afgan

KUALA LUMPUR, 2 Oktober - Peminat Afgan di Malaysia pastinya teruja menantikan penampilan penyanyi popular Indonesia itu.

Afgan buat julung kalinya akan mengadakan konsert di Pulau Pinang, Afgan Live In Penang 2024 pada 28 Disember depan di Setia Spice Arena, Penang di Pulau Pinang.

"Ini merupakan konsert solo terbesar Afgan yang pernah diadakan di Malaysia!", kata Strategy X Entertainment menerusi kenyataan.

Ini bukan kali pertama Afgan yang terkenal dengan lagu-lagu hits seperti Jodoh Pasti Bertemu dan Bukan Cinta Biasa, mengadakan persembahan di Malaysia.

Menurut Mohd Arif Othman dari Strategy X Entertainment konsert itu dijangka menjadi detik bersejarah semua pihak yang terlibat, termasuk peminat yang sekian lama menantikan persembahan daripada penyanyi kegemaran itu.

"Kami yakin Afgan Live In Penang 2024 yang buat pertama kali diadakan di Pulau Pinang akan menjadi pengalaman manis, bukan hanya buat kami sebagai penganjur, tetapi juga buat Afgan dan peminat yang setia menyokong kariernya," kata Arif.

Tambah beliau, Strategy X Entertainment tidak menjanjikan 'bulan dan bintang', namun percaya bahawa aura Afgan akan menjadikan konsert tersebut satu extravaganza yang tidak akan dilupakan.

Namun, setiap kali konsert berakhir, peminatnya sukar untuk ‘move on’ dan sentiasa mendambakan kehadiran idola kesayangan mereka ini di pentas.

Afgan, 35 tahun, turut meluahkan keterujaannya untuk kembali bertemu peminat di Malaysia, meskipun telah beberapa kali memenuhi undangan persembahan di negara ini.

"Saya sentiasa teruja untuk membuat persembahan di Malaysia. Apabila saya menerima pelawaan untuk Afgan Live In Penang 2024, saya terus bersetuju kerana saya yakin peminat saya di sini tidak pernah mengecewakan, walaupun diadakan di Pulau Pinang," kata Afgan.

Tiket untuk konsert itu sudah mula dijual melalui laman Ticket2u.com.my bermula 1 Oktober.

TETITIA YUSOFF