Trump beri isyarat serangan AS terhadap Iran mungkin lebih lama

FOTO REUTERS

WASHINGTON, 3 Mac – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memberi isyarat bahawa serangan ke atas Iran mungkin berlangsung lebih lama daripada jangkaan asal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump menyatakan operasi terhadap Iran mungkin berlangsung lebih lama daripada jangkaan awal.
  • Beliau sebut kemampuan untuk meneruskan operasi melebihi tempoh empat hingga lima minggu.
  • Trump tidak menolak kemungkinan menghantar tentera AS ke Iran.
  • Ketua Pentagon kata penghantaran tenter a tidak ditolak tetapi tidak akan berpanjangan seperti Iraq dan Afghanistan.

Dalam kenyataan pertamanya sejak operasi ketenteraan dimulakan, beliau memaklumkan tempoh masa yang diberikan sebelum ini mungkin akan bertambah, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong sayap kanan tentang kemungkinan Amerika Syarikat kembali terlibat dalam konflik Asia Barat yang pernah ditentangnya.

“Dari awal, kami menjangkakan empat hingga lima minggu, tetapi kami mempunyai kemampuan untuk pergi jauh lebih lama daripada itu,” kata Trump pada majlis penyampaian pingat di White House.

Beliau menegaskan bahawa AS kini bertindak jauh lebih awal daripada jangkaan masa yang dirancang, merujuk kepada pembunuhan kepimpinan tertinggi Iran dalam serangan pada Sabtu.

Trump turut tidak menolak kemungkinan menghantar tentera AS ke Iran.

Sementara itu, Ketua Pentagon, Pete Hegseth,menegaskan bahawa penghantaran tentera ke Iran tidak ditolak sepenuhnya, tetapi menekankan ia tidak akan berpanjangan seperti perang lama AS di Iraq dan Afghanistan. – AFP