Singapura sokong usaha Pengerusi ASEAN selaraskan respons serantau konflik Asia Barat

Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan/ AFP

SINGAPURA, 14 Mac – Singapura menyatakan sokongannya kepada Filipina selaku Pengerusi ASEAN dalam usaha menyelaras respons serantau bagi mengurangkan kesan konflik berterusan di Asia Barat terhadap rantau ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kesan konflik luas terhadap manusia dan ekonomi akan menjadi semakin buruk jika krisis berlanjutan.
  • ASEAN menggesa penyelesaian diplomatik dan aman serta memberi amaran tentang impak kepada tenaga, inflasi dan keselamatan makanan.
  • Mesyuarat membincangkan kesan terhadap pasaran tenaga global, laluan pengangkutan maritim dan kepentingan memperkukuh keselamatan tenaga serta daya tahan ekonomi.
  • Negara anggota saling membantu; Singapura menawarkan tempat duduk dalam penerbangan pemindahan untuk warga Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Vietnam.

Menteri Luar, Dr Vivian Balakrishnan berkata impak konflik berkenaan terhadap manusia dan ekonomi adalah amat luas dan akan menjadi semakin buruk sekiranya krisis itu berlarutan.

“Dalam masa yang sukar ini, ASEAN mesti berdiri teguh bersama-sama.

“Singapura akan terus bekerjasama rapat dengan rakan ASEAN bagi menjaga kesejahteraan rakyat kami dan warga ASEAN yang lain sepanjang tempoh yang mencabar ini,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.

Terdahulu, Menteri-menteri Luar ASEAN menggesa penyelesaian diplomatik dan aman bagi menangani krisis yang semakin meruncing di Asia Barat, selain memberi amaran tentang potensi impak terhadap harga tenaga, inflasi dan keterjaminan makanan di seluruh rantau ini.

Menteri-menteri berkenaan, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat khas mengenai situasi di Asia Barat menerusi persidangan video pada Jumaat, melahirkan kebimbangan serius terhadap konflik itu.

Menurut Balakrishnan, mesyuarat itu turut membincangkan kesan konflik terhadap pasaran tenaga global dan laluan pengangkutan maritim, serta kepentingan memperkukuh keselamatan tenaga serantau dan daya tahan ekonomi.

“Mempelbagaikan sumber tenaga, termasuk melalui tenaga boleh baharu dan Grid Kuasa ASEAN, akan memperkukuh keupayaan ASEAN untuk mengharungi krisis bagi tempoh jangka panjang,” katanya.

Beliau juga menekankan bahawa negara anggota ASEAN akan saling membantu antara satu sama lain semasa krisis ini.

Ini terbukti melalui tindakan Singapura yang menawarkan tempat duduk dalam penerbangan pemindahan tersedia kepada warga Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Vietnam. -BERNAMA