Rusia desak Armenia percepat referendum keanggotaan EU

Presiden Rusia, Vladimir Putin mahu Armenia membuat keputusan segera mengenai penyertaan negara itu kedalam Kesatuan Eropah (EU)/ AFP

ASTANA, 30 Mei – Rusia bersama-sama sekutunya mendesak Armenia untuk mengadakan referendum kebangsaan dengan segera.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenyataan bersama Putin dan tiga pemimpin sekutu menekankan perlunya referendum memilih antara EU atau Kesatuan Ekonomi Eurasia.
  • Armenia mempererat hubungan dengan Brussels selepas kecewa Rusia tidak mempertahankan semasa konflik dengan Azerbaijan.
  • Armenia membekukan hubungan keselamatan dengan Moscow pada 2024 dan meluluskan undang-undang niat memohon keanggotaan EU.
  • Armenia masih anggota Kesatuan Ekonomi Eurasia namun Putin memberi amaran ia tidak boleh menjadi ahli kedua-dua blok serentak.

Tindakan itu penting bagi menentukan sama ada negara berkenaan mahu menyertai Kesatuan Eropah (EU) atau kekal berada dalam blok ekonomi pimpinan Moscow.

Desakan itu dizahirkan menerusi satu kenyataan bersama oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin, bersama-sama tiga pemimpin sekutunya iaitu Belarus, Kyrgyzstan, dan Kazakhstan semasa sidang kemuncak yang berlangsung di Kazakhstan, baru-baru ini.

“Kami berkongsi pendirian yang sama tentang keperluan untuk mengadakan referendum kebangsaan di Republik Armenia secepat mungkin bagi memilih sama ada untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU) atau kekal sebagai sebahagian daripada Kesatuan Ekonomi Eurasia,” jelas kenyataan itu.

Meskipun Armenia secara rasminya merupakan sekutu kuat Moscow, negara Caucasus yang dikelilingi daratan itu dilaporkan giat membina hubungan lebih erat dengan Brussels sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Langkah itu diambil susulan rasa kecewa Yerevan terhadap Rusia yang dilihat tidak mempertahankan negara berkenaan ketika konflik bersenjata meletus dengan negara jiran, Azerbaijan.

Ketegangan antara kedua-dua pihak semakin memuncak apabila Armenia bertindak membekukan hubungan keselamatannya dengan Moscow pada tahun 2024, disusuli kelulusan undang-undang pada tahun lalu yang mengisytiharkan hasratnya untuk memohon keanggotaan EU.

Bagaimanapun, Armenia ketika ini masih memegang status sebagai anggota Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU), iaitu sebuah blok kesatuan kastam yang diterajui oleh Rusia.

Sebelum ini, Vladimir Putin dilaporkan telah memberi amaran tegas kepada Perdana Menteri Armenia, Nikol Pashinyan, bahawa negara tersebut tidak boleh menjadi ahli kepada kedua-dua blok EU dan EAEU dalam masa yang sama.

Di bawah pentadbiran Pashinyan, Armenia mengamalkan strategi “kepelbagaian” yang menyaksikan negara itu cuba mengimbangi hubungan diplomatik dan ekonomi antara Rusia serta kuasa Barat.

Sehingga kini, pihak pentadbiran Armenia masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung desakan referendum oleh pemimpin-pemimpin sekutu Rusia itu. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.