Rundingan pembentukan kerajaan baharu Denmark bermula

Foto AFP

COPENHAGEN, 25 Mac – Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen secara rasmi menyerahkan surat peletakan jawatan kerajaan kepada Raja Frederik X, pada Rabu sekali gus memulakan pusingan baharu rundingan bagi membentuk kerajaan baharu, lapor Xinhua.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wakil parti yang memenangi kerusi dibenarkan menyatakan pandangan mengenai pembentukan kerajaan baharu.
  • Proses pembentukan kerajaan mengikuti amalan politik lama dan bukan peraturan perlembagaan terperinci.
  • Seorang ketua perunding akan dilantik untuk meneroka kemungkinan pembentukan kerajaan; kadangkala lebih daripada satu pusingan diperlukan.
  • Tiada pihak mencapai majoriti mudah; Social Democrats kekal terbesar dengan 38 kerusi, Moderates (14 kerusi) dilihat sebagai pemain penting.

Menurut kenyataan daripada istana diraja Denmark, sesi menghadap itu berlangsung pada 10.15 pagi waktu tempatan (0915 GMT) di Amalienborg, kediaman rasmi keluarga diraja Denmark di Copenhagen.

Selepas menyembah maklum keputusan Pilihan Raya Parlimen pada Selasa kepada baginda, Frederiksen meminta agar wakil parti-parti yang memenangi kerusi di Folketing, parlimen satu dewan negara itu, dibenarkan menyatakan pandangan mereka mengenai pembentukan kerajaan baharu.

Menurut pihak istana, proses pembentukan Kerajaan Denmark sebahagian besarnya mengikut amalan politik yang telah lama diamalkan dan bukannya berdasarkan peraturan perlembagaan yang terperinci.

Berdasarkan saranan parti-parti berkenaan, seorang ketua perunding akan dilantik bagi meneroka kemungkinan pembentukan kerajaan baharu.

Dalam sesetengah kes, lebih daripada satu pusingan perundingan diperlukan dalam proses berkenaan.

Sebelum kerajaan baharu ditubuhkan, Frederiksen akan terus menjalankan tugasnya dengan kapasiti sebagai kerajaan sementara.

Pilihan Raya Parlimen pada Selasa menyaksikan tiada mana-mana pihak memperoleh majoriti mudah di Folketing yang mempunyai 179 kerusi.

Parti Social Democrats pimpinan Frederiksen kekal sebagai parti terbesar dengan memenangi 38 kerusi, namun ‘blok merah’ (haluan kiri) mahupun ‘blok biru’ (haluan kanan) gagal meraih 90 kerusi yang diperlukan untuk mencapai majoriti.

Parti Moderates yang berhaluan tengah dengan 14 kerusi, kini dilihat sebagai pemain yang penting dalam rundingan gabungan akan datang.-BERNAMA