
ZIMBABWE, 18 November – Syarikat tenaga Invictus Energy kini bersiap sedia untuk menggerudi telaga penerokaan ketiganya di projek Cabora Bassa, utara Zimbabwe, dalam usaha menemukan lebih banyak sumber gas asli, sekali gus mengurangkan kebergantungan negara itu terhadap import tenaga.
- Penemuan gas-kondensat di telaga Mukuyu-1 (2022) dan Mukuyu-2 (2023).
- Kerja di Musuma-2 diharapkan dapat memperoleh sampel fizikal untuk mengesahkan penemuan baharu.
- Pengeluaran komersial masih memerlukan penilaian lanjut dan pelaburan tambahan.
- Pembangunan gas domestik berpotensi memperkukuh sekuriti tenaga dan kurangkan kebergantungan import.
Langkah itu menyusuli kejayaan penemuan gas-kondensat di telaga Mukuyu-1 pada 2022 dan Mukuyu-2 pada 2023.
Pengarah Urusan Geo-Associates, Paul Chimbodza berkata pihaknya berharap kerja-kerja penggerudian di Musuma-2 membolehkan sampel fizikal diperoleh, sekali gus mengesahkan penemuan baharu.
“Kami berharap ia akan menjadikan Zimbabwe mampu berdikari daripada segi tenaga. Ia juga diharap dapat mengeluarkan Zimbabwe daripada status pengimport bersih dan menjadi pengeksport bersih tenaga,” katanya di sini, pada Selasa.
Penduduk tempatan pula menaruh harapan agar projek itu membawa peluang pekerjaan serta infrastruktur yang lebih baik kepada komuniti mereka.
“Mereka telah menggali telaga tiub di kampung kami. Sebelum ini kami terpaksa mengambil air sangat jauh dari rumah. Selain itu, kami juga berpeluang mendapat pekerjaan,” kata seorang penduduk, Levison Mashayakure Muzarabani.
Invictus sebelum ini melaporkan penemuan gas-kondensat di medan Mukuyu pada 2023, namun pengeluaran secara komersial masih memerlukan penilaian lanjut serta pelaburan tambahan.
Zimbabwe ketika ini sebahagiannya bergantung kepada import bekalan elektrik, menjadikan pembangunan gas domestik berpotensi besar untuk memperkukuh sekuriti tenaga negara tersebut. – VIORY