
WASHINGTON, 6 Januari– Amerika Syarikat (AS) pada Isnin menamatkan garis panduan lama yang mengesyorkan semua kanak-kanak menerima vaksin bagi influenza serta tiga penyakit lain, satu perubahan dasar besar di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.
- Penarikan saranan vaksin untuk influenza, rotavirus, meningokokus dan hepatitis A membalikkan dasar imunisasi kanak-kanak.
- Keputusan diluluskan oleh pemangku pengarah CDC tanpa semakan oleh panel pakar luar, mencetuskan kritikan profesional perubatan.
- Pakar amaran ia boleh meningkatkan kemasukan hospital dan kebangkitan semula penyakit berjangkit yang boleh dicegah.
Langkah itu dilihat selari dengan matlamat jangka panjang Setiausaha Kesihatan, Robert F. Kennedy Jr., yang berusaha mengurangkan program vaksinasi kanak-kanak di negara berkenaan.
Pakar kesihatan awam memberi amaran penarikan semula saranan tersebut boleh membawa kepada peningkatan kes kemasukan ke hospital dan kematian yang sebenarnya boleh dicegah.
Keputusan itu diluluskan oleh Pemangku Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Jim O’Neill, tanpa melalui proses semakan biasa oleh panel pakar luar agensi itu.
Pengarah bersekutu Pusat Vaksin Emory, Universiti Emory, Dr. Walter Orenstein berkata perubahan dasar tersebut meletakkan kesihatan awam dalam keadaan berisiko dan boleh mencetuskan kebangkitan semula penyakit berjangkit.
Langkah berkenaan membatalkan saranan vaksin bagi rotavirus, influenza, penyakit meningokokus dan hepatitis A, sebaliknya menggesa ibu bapa membuat keputusan bersama penyedia perkhidmatan kesihatan masing-masing. -REUTERS