MSF kecam serangan dron ke atas hospital di Sudan

FOTO AFP

GENEVA, 3 April – Organisasi Doktor Tanpa Sempadan (MSF) mengecam keras serangan dron terhadap sebuah hospital di Sudan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 10 nyawa, termasuk tujuh petugas perubatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hospital Al Jabalain disasarkan; dua letupan mengenai dewan pembedahan dan wad bersalin.
  • Sumber kerajaan dan saksi menuduh RSF, namun kumpulan itu menafikan penglibatan.
  • Kementerian Kesihatan melaporkan 22 individu cedera dalam insiden tersebut.
  • Pihak perubatan antarabangsa menggesa SAF dan RSF hentikan serangan dan lindungi fasiliti, kakitangan serta pesakit.

Dalam kenyataan pada Jumaat, organisasi perubatan antarabangsa itu memaklumkan serangan pada Khamis menyasarkan Hospital Al Jabalain di negeri White Nile, dengan dua letupan mengenai dewan pembedahan dan wad bersalin.

MSF menyifatkan serangan itu sebagai “tidak boleh diterima” dan “amat mengejutkan”, lebih-lebih lagi ia berlaku ketika kempen imunisasi kanak-kanak sedang dijalankan.

“Serangan ini mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang, termasuk tujuh kakitangan perubatan, sebahagian daripada mereka pernah bekerjasama dengan MSF,” menurut kenyataan itu.

Pertubuhan itu turut merakamkan takziah kepada keluarga mangsa, termasuk bekas petugasnya yang terkorban.

Sumber kerajaan serta dua saksi sebelum ini memaklumkan bahawa serangan tersebut didakwa dilakukan oleh kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), namun kumpulan berkenaan menafikan penglibatan mereka.

Menurut Kementerian Kesihatan Sudan, insiden itu turut menyebabkan 22 lagi individu cedera.

Konflik berterusan antara tentera Sudan dan RSF sejak April 2023 telah mengorbankan puluhan ribu nyawa serta memaksa lebih 12 juta penduduk meninggalkan kediaman, dengan hampir sejuta daripadanya melarikan diri ke negara jiran, Chad, menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Dalam perkembangan berkaitan, satu lagi serangan pada 20 Mac lalu yang didakwa dilakukan tentera Sudan di wilayah dikuasai RSF telah memusnahkan Hospital Pengajaran El-Daein di ibu negeri East Darfur, mengorbankan 70 orang dan mencederakan 146 yang lain.

MSF menegaskan pihaknya amat berang terhadap peningkatan serangan ke atas kemudahan kesihatan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

“Fasiliti kesihatan, kakitangan perubatan dan pesakit mesti sentiasa dilindungi. Kami menggesa RSF dan Sudanese Armed Forces (SAF) menghentikan segera keganasan terhadap kemudahan perubatan,” tegasnya.-AFP