
ASHGABAT, 19 Jun – Malaysia dan Turkmenistan meneroka peluang kerjasama baharu dalam pelbagai sektor termasuk tenaga, perdagangan, pelaburan, industri halal dan pendidikan tinggi.
- Pertemuan empat mata membincangkan hala tuju hubungan dua hala dan usaha memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan Turkmenistan.
- Mesyuarat dua hala memberi tumpuan kepada penyelidikan, sains dan teknologi, pelancongan serta kesalinghubungan udara.
- Perdana Menteri menerima sambutan rasmi di Istana Presiden dengan delegasi dan menteri kanan menyertai lawatan rasmi.
Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan empat mata antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov di Istana Presiden, di sini hari ini.
Pertemuan berkenaan meneliti secara mendalam hala tuju hubungan dua hala serta usaha memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin kemudiannya mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala yang turut memberi tumpuan kepada bidang penyelidikan, sains dan teknologi, pelancongan serta kesalinghubungan udara.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar diberi sambutan rasmi di Istana Presiden pada hari kedua lawatan rasminya ke Turkmenistan.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta pegawai kanan kerajaan.