Sri Lanka rekod 44,000 kes denggi

Pegawai Kesihatan mengasap kawasan perumahan semasa program kawalan nyamuk di Colombo, Sri Lanka, 19 Jun 2026 / foto REUTERS

COLOMBO, 19 Jun – Sri Lanka kini sedang berdepan wabak denggi paling teruk dalam tempoh beberapa tahun apabila lebih 44,000 kes jangkitan dan 28 kematian direkodkan sejak Januari lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Urbanisasi tidak terancang dan kesan Siklon Ditwah memburukkan keadaan, meningkatkan risiko penyebaran denggi.
  • Data NDCU menunjukkan jumlah kes hampir dua kali ganda dari 5,651 pada April kepada 10,638 dalam dua minggu pertama Jun.
  • Pihak berkuasa melaksanakan program pembersihan khas sehingga 22 Jun, membersihkan sekolah, kawasan perumahan, tapak pembinaan dan bangunan awam.

Pihak berkuasa memaklumkan proses urbanisasi yang tidak terancang serta kesan Siklon Ditwah yang melanda negara itu pada penghujung November tahun lalu telah memburukkan lagi situasi tahun ini.

Data Unit Kawalan Denggi Kebangsaan (NDCU) menunjukkan jumlah kes hampir dua kali ganda meningkat daripada 5,651 kes pada April kepada 10,638 kes dalam tempoh dua minggu pertama Jun.

Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti dan jurucakap NDCU, Dr. Prashila Samaraweera, berkata kadar jangkitan meningkat dengan ketara berbanding tahun lalu yang mencatatkan 51,000 kes sepanjang tahun.

“Jangkitan akan terus meningkat sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu lagi sebelum menunjukkan trend penurunan.

“Jumlah pesakit tahun ini berpotensi menyamai wabak besar yang berlaku pada 2019, apabila lebih 105,000 kes denggi direkodkan di negara ini,” katanya.

Pihak berkuasa kesihatan bersama agensi kerajaan lain ketika ini melaksanakan program pembersihan khas sehingga 22 Jun, melibatkan sekolah, kawasan perumahan, tapak pembinaan dan bangunan awam bagi menghapuskan lokasi pembiakan nyamuk Aedes. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.