
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov menyaksikan sesi pertukaran dokumen penting antara kedua-dua negara di sini. / Foto FB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
ASHGABAT, 19 Jun – Pertukaran enam dokumen penting antara Malaysia dan Turkmenistan dijangka memperkukuh kerjasama strategik kedua-dua negara dalam bidang sains, penerbangan, pendidikan serta latihan diplomatik.
- Dokumen mencerminkan kesepakatan membina hubungan bilateral yang lebih tersusun, progresif dan saling melengkapi.
- MoU dimeterai termasuk antara akademi sains, pihak berkuasa penerbangan, latihan diplomat, Perjanjian Perkhidmatan Udara dan UNITEN.
- Kedua-dua negara beriltizam melaksanakan kerjasama secara berdisiplin, telus dan berkesan, serta memperkukuh persahabatan berasaskan kepercayaan.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dokumen berkenaan mencerminkan kesepakatan untuk membina hubungan bilateral yang lebih tersusun, progresif dan saling melengkapi.
Antara dokumen terbabit ialah memorandum persefahaman (MoU) antara Akademi Sains Malaysia dan Akademi Sains Turkmenistan serta MoU antara pihak berkuasa penerbangan kedua-dua negara.
“Turut dimeterai ialah MoU antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Turkmenistan mengenai latihan diplomat serta Perjanjian Perkhidmatan Udara antara kedua-dua negara,” menurut hantaran itu.
Selain itu, kedua-dua pihak mengumumkan MoU antara Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dengan institusi pengajian tinggi Turkmenistan.
Jelas Perdana Menteri lagi, kedua-dua negara turut menegaskan iltizam untuk memastikan setiap kerjasama yang dimeterai dilaksanakan secara berdisiplin, telus dan berkesan.
Datuk Seri Anwar turut mendoakan hubungan persahabatan antara Malaysia dan Turkmenistan terus diperkukuh berasaskan kepercayaan serta sikap saling menghormati.