
BEIRUT, 12 Ogos – Lubnan menjadi negara Arab pertama yang secara rasmi memansuhkan hukuman mati, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik Agensi Berita Kebangsaan (NNA) yang dikendalikan kerajaan.
- Parlimen meluluskan undang-undang menggantikan hukuman mati dengan penjara seumur hidup dan kerja berat.
- Menteri Kehakiman Adel Nassar menyifatkan pengundian itu sebagai langkah bersejarah bagi Lubnan.
- Kempen pertubuhan hak asasi, termasuk Human Rights Watch dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan, menyokong pemansuhan.
Keputusan itu dibuat selepas Parlimen negara itu pada Selasa meluluskan undang-undang bagi memansuhkan hukuman mati dan menggantikannya dengan hukuman penjara seumur hidup dengan kerja berat.
Menteri Kehakiman Adel Nassar yang menghadiri persidangan Parlimen menyifatkan pengundian itu sebagai “langkah bersejarah” bagi Lubnan.
Langkah berkenaan diluluskan dengan majoriti daripada 128 anggota Parlimen, walaupun blok parlimen Hizbullah menentangnya, menurut sumber Parlimen. Rang undang-undang itu, yang dikemukakan kepada Parlimen pada Oktober 2025, mendapat sokongan tujuh anggota Parlimen daripada pelbagai blok.
Cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen (MP) Abdul Rahman al-Bizri itu dipinda sebelum diluluskan.
Di bawah undang-undang yang dipinda, jenayah yang dilakukan sebelum undang-undang itu berkuat kuasa akan dihukum penjara seumur hidup manakala kesalahan yang dilakukan selepas ia berkuat kuasa akan dikenakan hukuman penjara seumur hidup dengan hukuman lebih berat, lapor NNA.
Pemansuhan itu susulan kempen bertahun-tahun oleh pertubuhan hak asasi manusia Lubnan dan antarabangsa. Human Rights Watch pada Julai menggesa Parlimen meluluskan undang-undang berkenaan, dengan menyatakan Lubnan perlu menamatkan secara rasmi amalan mengekalkan hukuman mati yang telah lama dilaksanakan walaupun terdapat moratorium tidak rasmi terhadap pelaksanaan hukuman mati sejak 2004.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Lubnan juga berulang kali menggesa pemansuhan hukuman mati. Pada Jun, suruhanjaya itu mengalu-alukan kemajuan terhadap rang undang-undang berkenaan dan menggesa anggota Parlimen menghapuskan hukuman mati serta hukuman kerja buruh daripada perundangan Lubnan, dengan alasan bahawa hukuman perlu menghormati maruah manusia dan bertujuan memulihkan pesalah.- BERNAMA-dpa