Letupan gas: seorang maut, 12 cedera di New York

Pasukan bomba berada di lokasi kejadian susulan letupan gas di sebuah bangunan pangsapuri 17 tingkat di Bronx, New York/Foto REUTERS

NEW YORK, 25 Januari – Seorang maut manakala sekurang-kurangnya 12 yang lain cedera susulan kebocoran gas yang mencetuskan letupan dan kebakaran di sebuah bangunan pangsapuri di Bronx, New York pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua tingkat teratas pangsapuri 17 tingkat musnah dalam kebakaran susulan letupan gas.
  • Letupan memaksa semua penghuni berpindah dan tinggal di luar kira-kira lima jam.
  • Puluhan penghuni kini mencari tempat perlindungan sementara dan belum menerima bantuan.
  • Pihak berkuasa memindahkan penghuni untuk membolehkan siasatan punca kejadian dijalankan.

Kebakaran itu memusnahkan dua tingkat teratas sebuah bangunan pangsapuri setinggi 17 tingkat.

Seorang penduduk bangunan berkenaan berkata, ketika kejadian berlaku sekitar tengah malam, dia dan keluarga sedang bersiap untuk tidur sebelum terdengar beberapa letupan kuat yang disangka tembakan atau seseorang terjatuh dari bumbung.

“letupan itu memaksa semua penghuni keluar dari bangunan dan berada di luar selama kira-kira lima jam sebelum dimaklumkan bahawa bangunan berkenaan perlu dikosongkan sepenuhnya,” katanya.

Penduduk terlibat mendakwa puluhan penghuni kini terpaksa mencari tempat perlindungan sementara kerana tidak dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing dan masih belum menerima bantuan.

Menurut pihak berkuasa, penghuni dipindahkan bagi membolehkan siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. – REUTERS