
JAKARTA, 28 Januari – Angka korban akibat kejadian tanah runtuh di wilayah Jawa Barat, Indonesia meningkat kepada 34 orang, beberapa hari selepas runtuhan bersama aliran lumpur melanda Kampung Pasirlangu.
- Jumlah mangsa dikenal pasti meningkat kepada 34 orang sementara 32 masih dilaporkan hilang.
- Lebih 50 rumah rosak teruk dan lebih 650 penduduk dipindahkan ke penempatan sementara.
- Operasi SAR diteruskan melibatkan kira-kira 800 penyelamat dengan penggunaan jentera berat.
- Punca dikaitkan dengan pembukaan ladang dan kehilangan kawasan hutan, kerajaan janjikan pemindahan ke kawasan selamat.
Menurut jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia (BNPB), Abdul Muhari, setakat pukul 7.30 malam Selasa (waktu tempatan), seramai 34 mangsa telah dikenal pasti, manakala 32 orang lagi dilaporkan masih hilang.
“Mayat yang telah dikenal pasti akan diserahkan kepada keluarga mangsa bagi urusan pengebumian,” katanya dalam satu kenyataan.
Kejadian yang berlaku pada Sabtu lalu itu mengakibatkan puluhan rumah rosak teruk serta memaksa ratusan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Menurut pihak berkuasa tempatan, lebih 50 buah rumah mengalami kerosakan teruk manakala lebih 650 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan sementara.
Pihak berkuasa turut memaklumkan jumlah mangsa hilang berkemungkinan lebih tinggi, berikutan keadaan kawasan bencana yang sukar diakses serta risiko runtuhan susulan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan dengan penglibatan kira-kira 800 anggota penyelamat, termasuk pasukan tentera dan polis, serta dibantu penggunaan jentera berat.
Bagaimanapun, usaha itu dijalankan dengan penuh berhati-hati susulan cuaca buruk dan kebimbangan berlakunya tanah runtuh susulan.
Pengarah Operasi Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Yudhi Bramantyo, sebelum ini memaklumkan pasukan penyelamat telah mengeluarkan 48 beg mayat dari kawasan runtuhan.

Dalam perkembangan berkaitan, Gabenor Jawa Barat, Dedi Mulyadi, mengaitkan insiden berkenaan dengan pembukaan ladang secara meluas di sekitar Pasirlangu, yang kebanyakannya digunakan untuk penanaman sayur-sayuran.
Beliau turut memberi jaminan kerajaan negeri akan memindahkan penduduk terjejas ke kawasan yang lebih selamat.
Terdahulu, kerajaan Indonesia turut mengaitkan kejadian tanah runtuh dan banjir dengan kehilangan kawasan hutan, yang sebelum ini mencetuskan bencana besar di Pulau Sumatera lewat tahun lalu, mengorbankan kira-kira 1,200 orang serta menjejaskan lebih 240,000 penduduk.- AFP