Konflik Asia Barat: Qatar gantung operasi LNG

Foto REUTERS

DOHA, 2 Mac -Qatar menghentikan pengeluaran gas asli cecair (LNG) pada Isnin ketika Iran terus melancarkan serangan ke atas negara-negara Teluk sebagai tindak balas terhadap serangan Israel dan Amerika Syarikat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Qatar menghentikan pengeluaran LNG selepas serangan dron terhadap kompleks Ras Laffan, menggugat bekalan global.
  • QatarEnergy dijangka mengisytiharkan force majeure ke atas penghantaran LNG kepada pelanggan Asia.
  • Serangan berlarutan juga menggugat operasi kilang penapisan Arab Saudi dan kemudahan petrokimia Mesaieed.

Ia sekali gus mencetuskan penutupan langkah berjaga-jaga kemudahan minyak dan gas di seluruh Asia Barat.

Pengeluaran LNG Qatar bersamaan kira-kira 20 peratus daripada bekalan global dan memainkan peranan penting dalam menampung permintaan pasaran Asia dan Eropah terhadap bahan api tersebut.

Gelombang serangan yang berlarutan hingga hari ketiga turut menyebabkan penggantungan operasi di kilang penapisan minyak domestik terbesar Arab Saudi selepas serangan dron.

Syarikat milik kerajaan, QatarEnergy, yang 82 peratus pelanggannya terdiri daripada negara Asia, dijangka mengisytiharkan force majeure ke atas penghantaran LNG susulan serangan dron Iran terhadap kemudahan di kompleks industri Ras Laffan.

Kompleks itu menempatkan loji pemprosesan gas utama Qatar yang menyejukkan gas asli kepada bentuk cecair untuk dieksport melalui kapal.

Serangan dron turut mengenai zon perindustrian Mesaieed di selatan Qatar, yang walaupun terletak jauh dari medan gas, menempatkan pelbagai kemudahan petrokimia dan pembuatan. – REUTERS