Kenaikan harga bahan api di Tebing Barat tingkatkan tekanan ekonomi rakyat Palestin

Foto AFP

RAMALLAH, 6 April – Kenaikan harga bahan api di seluruh Tebing Barat, memberi tekanan kepada pemandu, perniagaan dan isi rumah, menyebabkan barisan lebih panjang di stesen minyak serta peningkatan kos barangan dan perkhidmatan asas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Konflik Israel-AS dengan Iran mengganggu pasaran tenaga serantau dan mendorong kenaikan harga bahan api global.
  • Kebergantungan ekonomi Palestin kepada Israel mempercepat pemindahan kenaikan harga bahan api ke pasaran Palestin.
  • Pihak Berkuasa Palestin menanggung kerugian kerana Israel menahan hasil cukai, memburukkan beban kewangan kerajaan.

Penduduk dan ahli ekonomi berkata kenaikan itu berkait dengan konflik berterusan melibatkan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran, yang mengganggu pasaran tenaga serantau dan mendorong kenaikan harga minyak global.

“Keadaan ini sudah berlarutan lebih sebulan. Kami menghadapi kesukaran mendapatkan bahan api,” kata Abdullah Numan, seorang pemandu teksi di Ramallah ketika menunggu di stesen minyak.

Kebergantungan ekonomi Palestin kepada Israel memburukkan lagi kesan krisis serantau, menurut ahli ekonomi di Ramallah, Shaker Khalil.

“Sebarang kenaikan harga bahan api di Israel, yang dipengaruhi turun naik pasaran global susulan konflik Israel-AS dengan Iran, akan segera dipindahkan ke pasaran Palestin,” katanya.

“Harga diesel meningkat kira-kira 40 peratus, petrol 15 peratus dan gas memasak 25 peratus. Ini meningkatkan kos pengangkutan, pengeluaran dan pengedaran, menyebabkan isi rumah terpaksa menanggung harga lebih tinggi bagi barangan asas,” katanya.

Pemilik stesen minyak di Nablus Muhannad al-Akhras berkata Pihak Berkuasa Palestin membeli bahan api terus daripada syarikat Israel pada harga berkait pasaran global sebelum menjualnya kepada stesen tempatan.

“Pihak Berkuasa Palestin sering mengalami kerugian dalam proses ini, yang sepatutnya boleh ditampung melalui hasil cukai yang dikutip Israel bagi pihak Palestin,” katanya.

Bagaimanapun, Israel menahan sebahagian besar hasil itu selama hampir setahun, menjadikan kerugian itu sebagai beban kewangan yang semakin meningkat kepada Kerajaan Palestin, katanya.

Kenaikan harga bahan api turut menjejaskan kehidupan harian penduduk. Di pasar al-Zawiya di Hebron, seorang ibu, Ghaydaa Jumaa berkata keluarganya terpaksa menyesuaikan perbelanjaan.

“Harga roti meningkat kerana kedai roti kini bergantung kepada gas untuk pengeluaran. Buah-buahan, sayur-sayuran dan kebanyakan barangan lain juga lebih mahal. Kami mengurangkan pembelian, contohnya hanya membeli setengah kilogram tomato,” katanya.

Beliau berkata suaminya kini menggunakan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja bagi menjimatkan kos bahan api.

Seorang peniaga di Jenin Suleiman Mohsen berkata kenaikan harga bahan api menjejaskan keseluruhan rantaian bekalan.

“Kos pengangkutan meningkat menyebabkan harga sayur-sayuran, pakaian dan bahan industri seperti plastik turut naik,” katanya, sambil menjelaskan yang kilang mula menaikkan harga sekitar 15 peratus, sekali gus mengurangkan kuasa beli isi rumah.

Majdi al-Hassan, Pengarah Pihak Berkuasa Petroleum di Kementerian Kewangan Palestin berkata sebelum konflik, kira-kira empat juta liter bahan api dibekalkan setiap hari dan kini masih melebihi 3.5 juta liter, iaitu dalam julat bekalan normal.

Namun, beliau menegaskan sekalipun bekalan terkawal, kenaikan kos di pasaran global dan Israel terus mendorong harga tempatan meningkat.

Pemandu seperti Numan berkata mereka terpaksa menyesuaikan rutin kerja bagi menghadapi kenaikan kos.

“Kami cuba menggabungkan perjalanan dan mengelakkan pemanduan tidak perlu. Tetapi barisan panjang, harga meningkat dan ketidaktentuan menjadikan kehidupan harian semakin sukar. Konflik serantau menjadikan harga bahan api lebih tidak menentu dan mahal,” katanya. – BERNAMA