Kemudahan petrokimia Iran diserang, lima terbunuh

Kemudahan petrokimia di barat daya Iran menjadi sasaran serangan AS-Israel./REUTERS

ISTANBUL, 5 April – Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan 170 yang lain cedera dalam serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel yang menyasarkan kemudahan petrokimia di barat daya Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan menjejaskan beberapa syarikat di Zon Ekonomi Khas Mahshahr untuk sektor petrokimia.
  • Kemudahan petrokimia Fajr, Rejal dan Amir-Kabir di wilayah Khuzestan turut menjadi sasaran.
  • Serangan AS-Israel turut mensasarkan ibu pejabat Pasukan Mobilisasi Popular Iraq; dua serangan udara sasar Rejimen Keempat Briged 52, merosakkan harta benda.

Menurut laporan media tempatan, serangan itu menjejaskan beberapa syarikat di Zon Ekonomi Khas Mahshahr untuk petrokimia.

Mangsa yang cedera menerima rawatan dengan kebanyakannya dibenarkan keluar sebagai pesakit luar.

Serangan itu juga menyasarkan kemudahan petrokimia Fajr, Rejal dan Amir-Kabir di wilayah Khuzestan barat daya Iran.

Dalam perkembangan lain, Pasukan Mobilisasi Popular Iraq memaklumkan bahawa serangan AS-Israel menyasarkan salah satu ibu pejabatnya di wilayah Salahaddin.

Menurut pasukan itu, dua serangan udara disasarkan ke atas Rejimen Keempat Briged 52 di lapangan terbang Hilewa di daerah Tuz Khurmatu.

Rejimen itu adalah sebahagian daripada Komando Operasi Tigris Utara dan Timur Pasukan Mobilisasi Popular.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun serangan menyebabkan kerosakan harta benda.

Ketegangan serantau terus meningkat sejak Israel dan AS melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari, membunuh lebih 1,340 orang setakat ini, termasuk Pemimpin Tertinggi Iran ketika itu Ali Khamenei.

Konflik menyebabkan korban dan kerosakan infrastruktur serta mengganggu pasaran global. – BERNAMA