
JAKARTA, 1 Ogos – Juruterbang warga Malaysia yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta Rabu lalu berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup di Indonesia selepas didakwa di bawah undang-undang penyeludupan dadah kerana dipercayai menyeludup lebih 70,000 pil ekstasi dalam bagasinya, selain didapati positif dadah.
- Juruterbang warga Malaysia dikenali sebagai MSO, 39, ditahan sejurus tiba selepas menerbangkan pesawat dari Kuala Lumpur.
- Kastam menegaskan pemeriksaan dijalankan terhadap semua individu tanpa pengecualian walaupun ada laluan khas kru penerbangan.
- Suspek mengaku ini kali ketiga menyeludup, termasuk dua kali ke Indonesia dan sekali di Malaysia.
- Polis siasat kemungkinan kaitan sindiket antarabangsa; suspek diberitahu dijanjikan bayaran RM50,000 untuk penghantaran dadah.
Menurut pihak berkuasa Indonesia, lelaki berusia 39 tahun yang hanya dikenali sebagai MSO itu ditahan sejurus tiba selepas menerbangkan pesawat penumpang dari Kuala Lumpur.
Pegawai Pejabat Kastam Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Hengky Tomuan Parlindungan Aritonang berkata, suspek dipercayai tidak menjangka dirinya akan diperiksa melalui laluan khas kastam untuk juruterbang dan kru penerbangan, namun pihak berkuasa tetap menjalankan pemeriksaan terhadap semua individu tanpa pengecualian.
Dalam keterangan kepada penyiasat, suspek dilaporkan mengaku bahawa cubaan menyeludup dadah itu merupakan kali ketiga dilakukannya, termasuk dua kali ke Indonesia dan sekali di Malaysia.
“Keputusan ujian air kencingnya positif terhadap meth, MDMA dan kokain. Ini bermakna, ketika penerbangan, juruterbang tersebut berada di bawah pengaruh bahan berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat.
Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 14 beg berisi lebih 70,000 pil ekstasi dalam bagasi suspek, manakala empat gram methamphetamine yang dipercayai untuk kegunaan peribadi turut ditemui dalam beg kabinnya.
Ketua Unit Jenayah Dadah Polis Indonesia, Awaludin Amin berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket dadah antarabangsa.
Suspek turut memberitahu penyiasat bahawa dia dijanjikan bayaran sebanyak RM50,000 bagi menghantar bekalan dadah tersebut ke Jakarta.
Indonesia antara negara yang mempunyai undang-undang dadah paling ketat di dunia, termasuk mengenakan hukuman mati terhadap pengedar dadah.
Bagaimanapun, negara itu telah mengekalkan moratorium pelaksanaan hukuman mati sejak beberapa tahun lalu.
Sementara itu, Kedutaan Malaysia di Jakarta dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah menerima notis penahanan seorang rakyat Malaysia di lapangan terbang berkenaan dan menghormati proses perundangan Indonesia.
Kedutaan itu turut bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi memastikan akses konsular diberikan kepada rakyat Malaysia terbabit. – AFP