
BEIRUT, 25 Mac – Israel dengan bongkaknya menyatakan akan mengambil alih zon keselematan di selatan Lubnan sehingga ke Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer dari sempadan.
- Tentera Israel menyerang infrastruktur Hizbullah di Beirut dan selatan Lubnan, menyebabkan korban jiwa, kecederaan dan lebih sejuta kehilangan tempat tinggal.
- Lubnan mengisytiharkan duta Iran persona non grata dan memanggil pulang duta Lubnan dari Tehran, menimbulkan bantahan keras Hizbullah.
- Pemimpin Lubnan menuduh Pengawal Revolusi Iran memimpin operasi Hizbullah; Israel berkata membunuh anggota Pasukan Quds Mohammed Ali Kurani.
Tentera Israel berkata bahawa semalaman pasukannya “menyerang infrastruktur pengganas Hizbullah di Beirut dan di kawasan tambahan di Lubnan”.
Terdahulu, Kementerian Luar Beirut mengisytiharkan Duta Iran Mohammad Reza Shibani sebagai persona non grata, memberinya sehingga Ahad untuk meninggalkan negara itu.
Namun perkara itu dibantah keras Hizbullah dan menyeru kerajaan untuk membatalkannya.
Kementerian itu juga telah memanggil pulang Duta Lubnan ke Iran, Ahmad Sweidan, untuk sesi perundingan.
Menurut kementerian itu, langkah berkenaan diambil susulan pelanggaran norma dan protokol diplomatik yang telah ditetapkan oleh Tehran antara kedua-dua negara.
Israel telah membedil Lubnan dengan serangan udara dan melancarkan serangan darat di selatan Lubnan sejak serangan rentas sempadan oleh kumpulan Hizbullah yang disokong Iran pada 2 Mac lepas.
Pihak berkuasa Lubnan menyatakan sekurang-kurangnya 1,039 orang telah terkorban manakala 2,876 lagi cedera dalam serangan Israel setakat ini.
Lebih sejuta orang kehilangan tempat tinggal selepas lebih tiga minggu pertempuran itu berlaku.
Kawasan di selatan Litani telah mengalami kemusnahan yang meluas sejak permusuhan meletus antara Israel dan Hizbullah pada tahun 2023 susulan perang Gaza, meskipun terdapat gencatan senjata pada November 2024.
Banyak kampung di sempadan kosong daripada penduduk sebelum tentera Israel menyambung semula pengeboman dan pencerobohan berat ke kawasan itu sejak perang terbaru meletus.
Israel telah berulang kali mengeluarkan arahan menyeluruh agar penduduk mengosongkan selatan Lubnan, kawasan seluas ratusan batu persegi.
Sementara itu Hizbullah telah melaporkan serangan berkala terhadap tentera Israel di sana, termasuk di bandar sempadan strategik Khiam dan di kampung Qawzah.
Kementerian luar Lubnan berkata ia telah memanggil kuasa usaha Iran di Lubnan atas “pelanggaran norma diplomatik oleh Tehran” dan berkata Beirut telah menarik balik kelulusan “pengiktirafan duta Iran yang dilantik”.
Kementerian itu kemudiannya menjelaskan bahawa keputusan itu bukanlah satu pemutusan hubungan diplomatik dengan Iran, tetapi sebaliknya sebagai ingatan terhadap duta kerana melanggar protokol diplomatik dan kewajipannya sebagai duta yang dilantik ke Lubnan”.
Pada hari Ahad, Perdana Menteri Lubnan Nawaf Salam berkata anggota Pengawal Revolusi Iran sedang memimpin operasi Hizbullah dalam perang menentang Israel, dan pihak berkuasa bulan ini mengharamkan aktiviti Pengawal di negara itu.
Menteri Luar Israel Gideon Saar mengalu-alukan keputusan Lubnan untuk mengusir duta itu sebagai langkah yang wajar dan perlu dan menggesa kerajaan untuk mengambil langkah terhadap Hizbullah.
Israel telah mengatakan bahawa ia telah menyerang anggota Pengawal di Lubnan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk pada hari Isnin.
Pada hari Selasa, ia mengatakan bahawa ia telah membunuh seorang anggota Pasukan Quds cabang luar negara Pengawal Revolusi Iran, Mohammed Ali Kurani, dalam serangan berhampiran Beirut pada hari sebelumnya.
Seorang sumber keselamatan Lubnan memberitahu AFP bahawa Kurani berasal dari Lubnan dan seorang pegawai keselamatan di Hizbullah. -AFP