Iran tegas perang hanya berakhir jika serangan dihentikan

Tehran dakwa konflik bukan dimulakan pihaknya, gesa Majlis Keselamatan PBB campur tangan segera./REUTERS

TEHRAN, 3 Mac – Iran menegaskan bahawa peperangan yang sedang berlaku antara negara itu dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel hanya akan berakhir apabila serangan ke atasnya dihentikan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Iran menegaskan perang hanya akan berakhir jika serangan terhadapnya dihentikan.
  • Tehran menafikan memulakan konflik dan menekankan pilihan utama ialah diplomasi.
  • Jurucakap menggesa PBB dan komuniti antarabangsa campur tangan segera untuk hentikan eskalasi.
  • Iran berikrar bertempur dengan segala kekuatan dan telah melancarkan 15 gelombang serangan peluru berpandu dan dron.

Menurut jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, peperangan itu bukan dimulakan oleh Iran, memandangkan pilihan utama Tehran adalah diplomasi.

AS dan Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Iran pada Sabtu lepas yang mengorbankan hampir 800 orang, termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei serta pegawai tinggi tentera.

Serangan itu berlaku hanya beberapa hari selepas AS dan Iran mengadakan rundingan nuklear tidak langsung pusingan ketiga bawah pengantaraan Oman.

Esmaeil Baghaei berkata, ramai pihak di Iran menentang rundingan dengan AS, mengambil iktibar daripada pengalaman apabila Israel dan AS menyerang negara itu pada Jun tahun lepas.

Jurucakap itu turut menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan komuniti antarabangsa untuk campur tangan sebelum peperangan menjadi lebih parah.

“Iran berikrar untuk berjuang dengan segala kekuatan dalam pertempuran ini.

“Kami telah menerima banyak mesej yang bercanggah dan mengelirukan sepanjang satu setengah tahun yang lepas. Sekarang adalah masa untuk berperang dan mempertahankan tanah air. Apa sahaja yang mengalihkan perhatian kami mesti diketepikan,” tegas beliau.

Setakat ini, Iran telah melancarkan 15 gelombang serangan peluru berpandu dan dron ke arah Israel serta aset AS di rantau berkenaan, termasuk di Bahrain, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Jordan, Iraq, Kuwait dan Arab Saudi. – BERNAMA