Iran sedia hadapi perang panjang

Foto REUTERS

TEHRAN, 3 Mac – Ketua Keselamatan Iran, Ali Larijani, memaklumkan Iran telah bersiap sedia untuk perang yang panjang, susulan serangan berterusan Israel-Amerika Syarikat terhadap negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Iran bersedia untuk perang panjang menentang serangan Israel dan Amerika Syarikat, dengan tekad mempertahankan negara dan tamadun mereka.
  • Ikrar balas berterusan: Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke arah Israel dan sasaran berkaitan Amerika Syarikat di Asia Barat.
  • Perubahan kepimpinan pertahanan selepas kematian menteri pertahanan; Seyed Majid Ebn Al-Reza dilantik pemangku menteri.

“Rakyat Iran akan mempertahankan diri serta tamadun berusia enam ribu tahun mereka tanpa mengira kos dan memberi amaran bahawa musuh akan menyesal atas salah perhitungan mereka,” kata Larijani yang juga Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran menerusi hantaran di media sosial.

Kenyataan itu dibuat ketika serangan yang dimulakan Israel dan Amerika Syarikat memasuki hari ketiga, bermula Sabtu lalu semakin memuncak apabila kedua-dua negara melancarkan gelombang baharu serangan ke atas Tehran.

Manakala, Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu ke arah Israel serta sasaran berkaitan Amerika Syarikat di seluruh Asia Barat.

Pada hari sama, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian melantik Seyed Majid Ebn Al-Reza sebagai pemangku Menteri Pertahanan.

Pelantikan itu dibuat susulan kematian bekas Menteri Pertahanan, Aziz Nasirzadeh dalam serangan tersebut.-REUTERS