
TEHRAN, 22 Julai – Tentera Iran menyasarkan siri serangan peluru berpandu dan dron baharu terhadap pangkalan serta infrastruktur tentera Amerika Syarikat (AS) di Bahrain, Kuwait dan Jordan, sebagai tindak balas terhadap serangan udara terbaharu Washington.
- IRGC mengesahkan mereka membedil sistem pertahanan udara, radar dan infrastruktur komunikasi AS di ketiga-tiga negara berkenaan.
- IRGC berkata operasi bertujuan melumpuhkan keupayaan tentera AS dan membuka laluan kepada operasi ketenteraan lebih meluas.
- Serangan balas Tehran susulan gelombang serangan udara CENTCOM ke atas pusat perintah, tapak pelancaran dron dan sistem pertahanan udara Iran.
- Bahrain, Kuwait dan Jordan mengesahkan sistem pertahanan udara memintas beberapa peluru berpandu dan dron serta berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) menerusi kenyataan di portal rasminya Sepah News mengesahkan pihaknya membedil sistem pertahanan udara, kemudahan radar dan infrastruktur komunikasi AS di ketiga-tiga negara berkenaan.
IRGC menegaskan operasi itu bagi melumpuhkan keupayaan tentera AS, sekali gus membuka laluan kepada operasi ketenteraan yang lebih meluas terhadap sasaran Washington di rantau berkenaan.
Serangan balas Tehran itu menyusul sejurus Pusat Pemerintahan Amerika Syarikat (CENTCOM) melancarkan gelombang serangan udara terbaharu ke atas pusat ketenteraan, tapak pelancaran dron serta sistem pertahanan udara Iran.
Sementara itu, tentera Bahrain mengesahkan sistem pertahanan udaranya berjaya memintas serangan udara berkenaan dan menuduh Iran terus melakukan pencerobohan yang membahayakan nyawa orang awam.
Dalam perkembangan berkaitan, Angkatan Tentera Kuwait dan Jordan turut mengesahkan sistem pertahanan udara masing-masing berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi selepas bertindak memintas beberapa peluru berpandu dan dron berhampiran ruang udara negara mereka. -REUTERS