
TEHRAN, 5 April – Menteri Sains, Penyelidikan dan Teknologi Iran, Hossein Simaei-Sarraf mengecam Amerika Syarikat dan Israel susulan serangan ke atas institusi akademik serta kemudahan penyelidikan Iran, dengan mendakwa lebih 30 universiti di seluruh negara itu menjadi sasaran secara langsung sejak perang bermula pada akhir Februari.
- Lima profesor universiti dan lebih 60 pelajar terbunuh, tindakan digelar jenayah terhadap kemanusiaan.
- Serangan memusnahkan pusat penyelidikan laser dan plasma di Universiti Shahid Beheshti, merosakkan bahagian dalaman dan tingkap.
- Penyelidik berkata tiada aktiviti ketenteraan di kemudahan tersebut; ia hanya menjalankan penyelidikan.
- Kerajaan Iran mengutuk serangan ke atas institusi akademik, menyifatkannya sebagai jenayah perang serius.
Simaei-Sarraf turut memaklumkan bahawa lima profesor universiti dan lebih 60 pelajar terbunuh setakat ini dalam serangan berkenaan, sambil menyifatkan tindakan terhadap infrastruktur Iran sebagai “jenayah terhadap kemanusiaan”.
Antara yang terkorban ialah Saeed Shamghadri, pensyarah bersekutu di Universiti Sains dan Teknologi Iran.
“Sejak perang bermula, lima profesor universiti termasuk Profesor Shamghadri serta lebih 60 pelajar universiti telah terbunuh. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, lebih 30 universiti di Iran telah diserang. Adalah sukar dipercayai bahawa dalam era di mana nilai demokrasi, hak, undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia dipromosikan, hak-hak paling asas ini dipijak, dicabuli dan diserang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada pemberita di lokasi Universiti Shahid Beheshti yang mengalami kerosakan di ibu negara,di sini.
Dalam perkembangan sama, serangan udara yang dilakukan AS-Israel pada Jumaat telah mengenai pusat penyelidikan laser dan plasma di Universiti Shahid Beheshti, memusnahkan keseluruhan bahagian dalaman bangunan serta memecahkan semua tingkap. Kesan letupan turut memusnahkan hampir semua tingkap sebuah bangunan lain kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.
Seorang penyelidik universiti berkenaan berkata, beliau tidak memahami bagaimana kemudahan sedemikian boleh dijadikan sasaran.
“Anda boleh lihat tiada sebarang anggota atau aktiviti ketenteraan di sini. Ini adalah tempat yang hanya menjalankan penyelidikan. Mengapa ia menjadi sasaran serangan? Apakah motif jenayah ini?” katanya dalam temu bual bersama China Media Group.
Sejak serangan AS-Israel ke atas Iran bermula, kerajaan Iran berulang kali mengecam kedua-dua negara itu kerana mensasarkan institusi akademik dan kemudahan penyelidikan negara berkenaan, sambil menyifatkannya sebagai jenayah perang yang serius.- REUTERS