
TEHRAN, 8 April – Iran akan memastikan laluan selamat bagi trafik maritim yang melalui Selat Hormuz selama dua minggu.
- Tehran tuntut Washington terima Pelan 10 perkara sebagai syarat menamatkan perang, termasuk pengiktirafan program pengayaan uranium dan pemansuhan sekatan.
- Republik Islam isytihar kemenangan dan mahu kawalan berterusan Iran ke atas Selat Hormuz serta pemansuhan semua sekatan utama dan sekunder.
- Tuntutan lain termasuk pengunduran tentera Amerika dari Asia Barat, hentikan serangan ke atas Iran dan pembebasan aset Iran yang dibekukan.
- Pakistan kemuka cadangan saat akhir; Trump beri amaran teruk, kemudian umum Washington terima pelan itu sebagai asas boleh dirunding.
Jaminan itu diberikan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menerusi hantaran di platform X.
Beliau menambah, tempoh gencatan senjata selama dua minggu akan digunakan untuk mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat bagi menamatkan perang yang dijadualkan bermula pada 10 April di Islamabad.
Terdahulu, Tehran menuntut Washington menerima Pelan 10 perkara yang dikemukakan sebagai syarat untuk menamatkan perang.
Antara lain, pelan itu mengkehendaki Amerika menerima program pengayaan uranium republik itu, serta menarik balik semua sekatan.
Menerusi satu kenyataan, republik Islam itu mengisytiharkan kemenangan, sambil menyatakan pelan tersebut memerlukan kawalan berterusan Iran ke atas Selat Hormuz, penerimaan program pengayaan uranium, serta pemansuhan semua sekatan utama dan sekatan sekunder.
Tuntutan utama lain yang dikemukakan melalui perantara di Pakistan itu adalah pengunduran tentera Amerika dari Asia Barat, penamatan serangan ke atas Iran dan sekutunya, pembebasan aset Iran yang dibekukan, serta resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu yang menjadikan sebarang perjanjian itu mengikat.
“Perlu diperhatikan bahawa penerimaan resolusi sedemikian akan menjadikan semua perjanjian ini mengikat bawah undang-undang antarabangsa dan merupakan satu kemenangan diplomatik besar bagi rakyat Iran,” menurut kenyataan Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran.
Pelan tersebut turut menyeru kepada perluasan kawalan Iran ke atas Selat Hormuz, laluan yang menyalurkan kira-kira satu perlima minyak dunia dan hampir ditutup kepada trafik maritim sejak permulaan konflik selama lima minggu.
Pengumuman tersebut dibuat selepas Pakistan mengemukakan cadangan saat akhir untuk mengelakkan serangan besar-besaran Amerika ke atas Iran, dengan Presiden Donald Trump memberi amaran “seluruh tamadun akan musnah malam ini,” jika tiada perjanjian dicapai.
Namun, kira-kira 90 minit sebelum tarikh akhir pukul 8:00 malam, Trump mengumumkan Washington telah menerima pelan tersebut yang dilihat sebagai asas yang boleh dirundingkan. -AFP