Indonesia pergiat usaha bebaskan 4 warganya daripada tahanan lanun Somalia

Tangkap layar video tular 16 kru kapal tangki MT Honour 25 ditahan lanun Somalia.

JAKARTA, 18 Mei – Indonesia sedang mempergiat usaha bagi membebaskan empat rakyatnya yang menjadi antara 16 kru kapal tangki MT Honour 25 yang ditawan lanun Somalia sejak 22 April lalu ketika belayar berhampiran perairan Hafun di wilayah Puntland, timur laut Somalia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Luar bersama misi diplomatik menyelaras intensif dengan pelbagai pihak dalam dan luar negara.
  • Rundingan antara pihak berkuasa tempatan, pengurusan kru dan pihak berkaitan di Somalia masih berjalan.
  • Terdapat harapan tinggi rundingan pembebasan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
  • Kru warga Indonesia dilapor sihat, bekalan mencukupi dan gaji dibayar; keluarga dimaklumkan, kerajaan jamin perlindungan.

Kementerian Luar Indonesia memaklumkan pihaknya bersama misi diplomatiknya terus menyelaras secara intensif dengan pelbagai pihak di dalam dan luar negara susulan insiden berkenaan.

“Ketika ini, rundingan antara pihak berkuasa kerajaan tempatan, pengurusan kru kapal dan pihak berkaitan lain di Somalia masih berjalan.

“Terdapat harapan tinggi agar rundingan bagi pembebasan mereka dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan pada Isnin.

MT Honour 25 yang membawa produk petroleum itu mempunyai 16 kru terdiri daripada empat warga Indonesia, 10 warga Pakistan serta masing-masing seorang dari India dan Myanmar.

Menurut kementerian itu, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pelbagai pihak, semua kru warga Indonesia dilaporkan berada dalam keadaan sihat, mempunyai bekalan logistik mencukupi dan gaji mereka terus dibayar.

“Kementerian Luar, Kementerian Pengangkutan dan pihak berkaitan lain juga telah berhubung dengan keluarga kru serta memaklumkan bahawa kerajaan akan terus melakukan yang terbaik untuk melindungi rakyat Indonesia di luar negara,” menurut kenyataan tersebut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.