
GAZA, 26 Mac – Hujan lebat memburukkan lagi kesukaran yang dihadapi penduduk terjejas di kem di Bandar Gaza, di sini.
- Struktur khemah rapuh, banyak runtuh; penduduk tidak dapat memasak, pakaian basah dan anak-anak kebasahan.
- Air memasuki ruang perlindungan, penduduk cuba mengalirkan air tetapi ia datang dari semua arah.
- Keluarga menderita sejak awal musim sejuk, ribut berterusan dan mereka tidak tahu bagaimana menghadapi cuaca buruk.
Hujan tersebut melanda kawasan pesisir di barat Bandar Gaza, lokasi penempatan sementara berkenaan.
Penduduk terjejas Asiya Al-Fayoumi berkata, penduduk berdepan keadaan lebih sukar berikutan struktur khemah yang rapuh serta cuaca yang semakin buruk.
“Kami tidak mampu hidup seperti ini, saya dan anak-anak. Kami tidak dapat menyalakan api untuk memasak, seperti yang anda lihat.
“Pakaian kami basah dan semua anak saya kebasahan. Khemah kami runtuh. Kami cuba membaikinya, tetapi tidak berjaya,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohammed Saadallah, berkata khemah yang didiaminya runtuh akibat hujan lebat, selain air turut memasuki ruang tempat perlindungan mereka.
“Seperti yang anda lihat, khemah kami runtuh dan air masuk ke dalam. Saya cuba mengalirkan air keluar untuk melindungi diri dan anak-anak, tetapi air datang dari semua arah. Semua pakaian kami basah,” katanya.
Sementara itu, Inam Salman yang ditemui berkata mereka telah lama berdepan keadaan tersebut sejak bermulanya musim sejuk.
“Sejak awal musim sejuk, kami menderita di dalam khemah ini. Tempat perlindungan kami dipenuhi air dan ribut masih berterusan. Saya tidak tahu bagaimana kami akan menghadapi cuaca seperti ini,” katanya.- REUTERS