EU–Mercosur meterai perjanjian dagangan, tolak tarif dan pengasingan

Pemimpin EU dan Mercosur bergambar selepas majlis menandatangani perjanjian perdagangan di Asuncion/Foto AFP

ASUNCION, PARAGUAY, 18 Januari – Kesatuan Eropah (EU) dan blok Mercosur hari ini memeterai perjanjian perdagangan selepas 25 tahun rundingan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perjanjian perdagangan EU dan Mercosur dimeterai selepas 25 tahun rundingan, melibatkan 27 negara EU dan empat negara Mercosur.
  • Perjanjian menolak tarif dan pengasingan ekonomi, merancang menghapuskan tarif ke atas lebih 90 peratus perdagangan dua hala.
  • Perjanjian akan buka pasaran lebih 700 juta pengguna, tetapi menghadapi kebimbangan petani Eropah dan impak kepada industri Amerika Selatan.

Perjanjian melibatkan 27 negara EU dan empat negara Mercosur iaitu Brazil, Argentina, Uruguay dan Paraguay.

Perjanjian itu disifatkan sebagai mesej tegas menolak tarif, perlindungan perdagangan dan pengasingan ekonomi ketika dunia berdepan ketidaktentuan global.

Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen berkata EU memilih perdagangan adil dan kerjasama jangka panjang.

Manakala Presiden Paraguay, Santiago Peña menyifatkannya sebagai isyarat jelas menyokong perdagangan antarabangsa.

Perjanjian itu akan menghapuskan tarif ke atas lebih 90 peratus perdagangan dua hala, melibatkan pasaran lebih 700 juta pengguna, dijangka berkuat kuasa menjelang akhir 2026, tertakluk kelulusan Parlimen Eropah dan ratifikasi negara anggota.

Namun, perjanjian berkenaan menerima bantahan petani Eropah yang bimbang kemasukan produk murah, selain kebimbangan di Amerika Selatan terhadap kesan kepada industri tempatan.

Menurut anggaran EU, perjanjian ini dijangka meningkatkan eksport Eropah ke Mercosur sebanyak 39 peratus dan menambah KDNK EU €77.6 bilion menjelang 2040. – AFP