
BUENOS AIRES, 1 September – Sebuah restoran di Argentina memberi penghormatan kepada Lionel Messi melalui hidangan daging bersalut serbuk roti atau lebih popular dengan masakan milanesa yang dibentuk menyerupai wajah bintang bola sepak itu.
- Chef Damian Zanotti menggunakan gambar Messi sebagai rujukan ketika membentuk daging sebelum disalut telur dan serbuk roti.
- Hidangan dinamakan "La Milamessi" dan menjadi tular di media sosial selepas pengumuman persaraan Messi daripada pasukan kebangsaan.
- Zanotti berkata milanesa perpisahan itu dibuat sebagai penghormatan untuk membawa Messi sedikit lebih dekat kepada masyarakat Argentina.
- Messi mengumumkan persaraan; beliau juara Piala Dunia 2022, pemegang lapan Ballon d'Or dan 125 gol dalam 207 perlawanan.
Chef restoran El Antojo, Damian Zanotti, menggunakan gambar Messi sebagai rujukan ketika membentuk daging sebelum disalut telur dan serbuk roti.
Restoran yang terletak di Buenos Aires itu menamakan sebagai “La Milamessi” menjadi tular di media sosial selepas Messi mengumumkan persaraan daripada pasukan kebangsaan Argentina.
“Saya fikir membuat milanesa terakhir Messi, memandangkan dia tidak lagi akan bersama pasukan, adalah satu penghormatan, seolah-olah membawa dia sedikit lebih dekat dengan kami,” kata Zanotti.
Pemilik restoran, Christian Franco berkata hidangan itu dihasilkan sebagai tanda terima kasih kepada Messi atas sumbangannya kepada pasukan kebangsaan serta kegembiraan yang dibawanya kepada rakyat Argentina.
“Hari ini kami membuat milanesa yang tidak pernah kami mahu buat, iaitu milanesa perpisahan nombor 10,” katanya.
Messi yang mengetuai Argentina menjuarai Piala Dunia 2022 dan mara ke final pada 2026, mengumumkan persaraan daripada pasukan kebangsaan pada Isnin.
Pemenang rekod lapan anugerah Ballon d’Or itu juga merupakan pemain dengan penampilan dan jaringan terbanyak untuk Argentina, dengan 125 gol dalam 207 perlawanan. – AFP