
RIYADH, 25 Januari – Kempen media oleh Arab Saudi yang menyasarkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah memburukkan lagi pertikaian paling serius di rantau Teluk sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kesan buruk terhadap kestabilan politik dan ekonomi Asia Barat.
- Kempen media Saudi menyerang UAE, menuduhnya menyokong gerakan pemisah dan campur tangan serantau.
- Perselisihan berpunca daripada konflik di Yaman selepas serangan udara Saudi menumpaskan pemisah disokong UAE.
- Abu Dhabi memilih tidak membalas secara terbuka, mengelak provokasi terhadap Riyadh meskipun ketegangan meningkat.
- Risiko tindakan ekonomi oleh Saudi disebut, tetapi penganalisis percaya perpecahan penuh masih boleh dielakkan.
Tuduhan keras termasuk pencabulan hak asasi manusia dan pengkhianatan strategik telah berlegar selama beberapa minggu di media milik kerajaan Saudi dan platform media sosial, susulan konflik singkat di Yaman yang menyaksikan serangan udara Saudi menumpaskan kemaraan kumpulan pemisah disokong UAE.
Saluran televisyen Saudi, Al-Ekhbariya, menuduh UAE “melabur dalam kekacauan dan menyokong gerakan pemisah” dari Libya hingga ke Yaman dan Tanduk Afrika. Nada serangan sedemikian jarang kedengaran sejak krisis Teluk 2017, apabila Arab Saudi dan UAE mengetuai sekatan diplomatik dan perdagangan terhadap Qatar.
Penganalisis keselamatan Teluk, Anna Jacobs, berkata pertelingkahan terbuka itu menunjukkan ketegangan lama kini muncul secara jelas dan luar biasa dalam hubungan kedua-dua negara.
Sementara itu, Abu Dhabi setakat ini memilih untuk tidak memberi tindak balas terbuka. Profesor sains politik Emiriah, Abdulkhaleq Abdulla, berkata UAE “tidak mahu memprovokasi” Arab Saudi, yang disifatkannya sebagai rakan besar dan sekutu lama.
Walaupun kedua-dua negara mempunyai hubungan ekonomi yang rapat dan sebelum ini dianggap sekutu strategik, penganalisis di Arab Saudi mendakwa UAE semakin berani menyokong pihak yang bertentangan dengan kepentingan Riyadh, termasuk di Yaman dan Sudan, selain menjalin hubungan rapat dengan Israel.
Ketegangan itu turut disertai amaran kemungkinan tindakan ekonomi. Penganalisis Saudi memberi isyarat bahawa Riyadh berupaya mengambil langkah ekonomi “menyakitkan” sekiranya pertikaian berterusan, walaupun perpecahan penuh dianggap masih belum berlaku.
Dalam masa yang sama, kedua-dua negara giat mengukuhkan hubungan luar masing-masing. UAE meningkatkan kerjasama strategik dengan India, manakala Arab Saudi memeterai perjanjian pertahanan dengan Pakistan serta mengeratkan hubungan dengan Qatar.
Pemerhati antarabangsa berpandangan, meskipun serangan terbuka semakin keras, masih terdapat ruang untuk kedua-dua pihak mengekang konflik daripada berkembang menjadi perpecahan besar dalam blok Teluk.- AFP