Aktivis India tuntut kebebasan penunjuk perasaan

Foto AFP

NEW DELHI, 27 Julai Aktivis di India menggesa pihak berkuasa membebaskan semua penunjuk perasaan yang ditahan susulan gelombang protes besar-besaran diketuai golongan belia, dikenali sebagai gerakan “cockroach”.

RINGKASAN BERITA AI
  • CJP melaporkan pelajar masih ditahan di Assam, Bengal Barat dan Bihar susulan protes.
  • Menteri Pendidikan Dharmendra Pradhan meletak jawatan selepas kegagalan berulang pengendalian peperiksaan.
  • Demonstrasi tegang; polis guna gas pemedih mata, belantan dan tangkap ramai, sementara CJP ancam tindakan lanjut.

Gerakan dalam talian, ‘Cockroach Janta Party (CJP)’ yang menganjurkan protes berhubung kebocoran kertas peperiksaan dan pelbagai ketidakaturan lain, memaklumkan menerima laporan mengenai pelajar yang masih ditahan, khususnya di negeri Assam, Bengal Barat dan Bihar.

Menurut kenyataan kumpulan itu, kegagalan membebaskan tahanan atau menarik balik pertuduhan jenayah akan dianggap sebagai pengkhianatan terhadap kepercayaan awam.

Mereka turut memberi amaran akan mengambil langkah lanjut yang perlu sekiranya tuntutan tersebut tidak dipenuhi.

Perkembangan itu berlaku dua hari selepas Menteri Pendidikan India, Dharmendra Pradhan, meletak jawatan susulan kegagalan berulang dalam pengendalian peperiksaan kompetitif yang mencetuskan kemarahan jutaan belia di negara itu.

CJP turut menuduh kerajaan mungkir janji selepas sebelum ini memberi jaminan bahawa tiada tindakan hukuman akan dikenakan terhadap peserta protes.

Gerakan tersebut yang diasaskan pada Mei lalu oleh graduan perhubungan awam berusia 30 tahun, Abhijeet Dipke, berjaya meraih jutaan pengikut di media sosial dalam tempoh singkat.

Minggu lalu, puluhan ribu penunjuk perasaan, kebanyakannya pelajar, berhimpun di New Delhi dan beberapa bandar utama lain bagi menuntut peletakan jawatan Pradhan serta reformasi menyeluruh sistem peperiksaan.

Bagaimanapun, demonstrasi di ibu negara bertukar tegang pada 20 Julai apabila sekumpulan peserta cuba berarak ke Parlimen dari lokasi protes di Jantar Mantar.

Polis bertindak melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan belantan bagi menyuraikan perhimpunan, sekali gus mencetuskan pertembungan dan penahanan beramai-ramai.

Isu tersebut turut mencetuskan kekecohan di Parlimen hari ini apabila ahli-ahli pembangkang berulang kali menggesa kerajaan memberikan penjelasan berhubung tindakan keras polis minggu lalu.

Dalam masa sama, kerajaan memperkenalkan rang undang-undang di Dewan Rakyat India yang bertujuan mengenakan hukuman lebih berat terhadap kes kebocoran kertas peperiksaan.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.