
KOTA BHARU, 15 Januari – Radio Televisyen Malaysia (RTM) meneruskan legasi penganjuran berprestij Pertandingan Dikir Barat RTM 2026 dengan memperkenalkan kategori baharu kumpulan wanita buat julung kali sejak pertandingan itu dianjurkan pada tahun 1993.
- RTM perkenal kategori Kumpulan Wanita dalam Pertandingan Dikir Barat 2026 buat julung kali sejak 1993.
- Inisiatif bertujuan memartabatkan seni Dikir Barat menjadi lebih inklusif, dinamik dan relevan kepada generasi muda.
- Setakat ini empat penyertaan kategori wanita diterima, termasuk kumpulan pelajar IPT.
- Tarikh penting: tutup penyertaan 31 Januari; saringan 7-8 Februari; Separuh Akhir 18 April; Akhir 25 April.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, pengenalan kategori tersebut bertujuan memartabatkan seni dikir barat agar lebih inklusif dan dinamik, seiring dengan perkembangan semasa.
Menurutnya, inisiatif itu secara langsung membuka ruang kepada golongan wanita untuk menampilkan bakat dan kreativiti dalam seni warisan yang kebiasaannya didominasi oleh penyertaan lelaki.
Beliau turut menegaskan, transformasi penganjuran edisi ke-22 ini mencerminkan komitmen RTM dalam menyuntik evolusi positif terhadap seni tradisional supaya terus relevan, segar dan diminati generasi masa kini.
“Cabaran besar juga terletak di bahu pihak produksi untuk memikirkan bagaimana dikir barat dapat ditampilkan dengan lebih menarik dan relevan pada hari ini. Apa yang penting, ia bukan sahaja dapat ditonton di Malaysia, malah melalui RTMKlik, dikir barat kini boleh diakses oleh penonton di seluruh dunia. Ini secara tidak langsung mengantarabangsakan seni warisan dikir barat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sidang Media dan Pelancaran Pertandingan Dikir Barat RTM 2026 yang berlangsung di Kampung Kraftangan Kota Bharu, hari ini.
Pertandingan Dikir Barat RTM 2026 ini ditaja oleh Raja Perfume x Lavabelle.
Mengulas lanjut, Datuk Suhaimi memaklumkan pihaknya menerima sambutan penyertaan yang menggalakkan dari seluruh negara, dengan setakat ini empat penyertaan bagi kategori wanita telah diterima, termasuk daripada kumpulan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT).
Tambah beliau, penyertaan pendikir muda daripada pelbagai kaum dalam pertandingan dwitahunan itu turut memperluas dimensi serta keterangkuman seni dikir barat di peringkat nasional.
Bagaimanapun, tempoh penghantaran borang penyertaan masih dibuka sehingga 31 Januari ini.
Peringkat saringan dijadualkan berlangsung pada 7 dan 8 Februari depan di stesen RTM terpilih di seluruh negara, manakala kumpulan yang layak ke peringkat separuh akhir dan akhir akan berentak di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur masing-masing pada 18 dan 25 April depan.