
KUALA LUMPUR, 22 Mac– Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil dengan sebuah konsert istimewa iaitu ‘Aku Cinta Padamu Siti Nurhaliza 30 Tahun’ sempena meraikan tiga dekad kegemilangan penglibatannya dalam industri hiburan tanah air.
- Seleksi lagu popular sepanjang zaman memaparkan perjalanan seni dan hits ikonik.
- Durasi hampir dua jam, diserlahkan pengarah muzik Mokhzani Ismail bersama Orkestra RTM.
- Penampilan tetamu Aina Abdul, duo Kmy Kmo dan Luca Sickta; momen Kumbang Bunga dua generasi serta penutup dengan Nazam Lebaran.
Konsert berkenaan mendendangkan seleksi lagu popular sepanjang zaman yang pernah melonjakkan nama beliau sepanjang berkecimpung dalam bidang seni.
Berdurasi hampir dua jam, konsert itu mendapat sentuhan pemuzik tersohor, Datuk Mokhzani Ismail selaku pengarah muzik bersama Orkestra RTM.
Konsert berkenaan turut dimeriahkan dengan penampilan artis jemputan seperti Aina Abdul serta gandingan duo Kmy Kmo dan Luca Sickta.
Antara momen istimewa yang mencuri tumpuan adalah menerusi lagu Kumbang Bunga yang menyatukan dua generasi penyanyi wanita dalam paduan vokal harmoni yang memukau.
Sebagai pelengkap acara, Siti Nurhaliza mendendangkan lagu raya tradisional popular, Nazam Lebaran, sekali gus melabuhkan tirai persembahan dengan penuh gemilang.
Peminat boleh menyaksikan rakaman Konsert ‘Aku Cinta Padamu Siti Nurhaliza 30 Tahun’ pada malam ini, pukul 9.00 malam menerusi saluran TV2 dan aplikasi RTMKlik.