Kampung Angkat MADANI: Inisiatif strategik rapat jurang bandar-luar bandar

Pelancaran Kampung Angkat MADANI di Kampung Chengal Lempong, Kuantan, Pahang, Oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Julai 2024/FB Anwar Ibrahim

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Kampung Angkat MADANI menekankan pembangunan inklusif dan mampan untuk komuniti luar bandar.
  • Fokus kepada penyediaan infrastruktur asas seperti jalan, air, lampu dan internet untuk memacu ekonomi dan pendidikan.
  • Pembangunan insan dan projek bukan fizikal seperti kesihatan bergerak, TVET dan libat urus komuniti diutamakan.
  • Kerjasama kerajaan, agensi, GLC dan CSR korporat penting bagi pelaksanaan berskala dan impak berkekalan.

Usaha merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar sentiasa menjadi agenda penting dalam pembangunan negara. Walaupun pelbagai dasar dan program telah diperkenalkan oleh kerajaan selama ini, namun cabaran pembangunan luar bandar kekal kompleks dan memerlukan pendekatan yang lebih segar serta menyeluruh.

Dalam konteks ini, pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI hadir sebagai satu inisiatif strategik yang mencerminkan komitmen kerajaan untuk membangunkan komuniti desa secara lebih inklusif dan mampan.

Program ini diperkenalkan dengan matlamat utama untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi penduduk luar bandar melalui penglibatan pelbagai kementerian dan agensi.

Pendekatan bersepadu ini penting bagi memastikan pembangunan tidak lagi berlaku secara terpisah atau bersifat sementara, sebaliknya memberi kesan berpanjangan kepada kualiti hidup penduduk kampung.

Salah satu kekuatan utama Kampung Angkat MADANI ialah penekanan kepada penyediaan kemudahan asas yang menjadi nadi kehidupan seharian masyarakat desa. Penambahbaikan jalan kampung, jambatan, lampu jalan, bekalan air dan kemudahan internet bukan sahaja memudahkan urusan harian penduduk, malah membuka ruang kepada aktiviti ekonomi, pendidikan dan perkhidmatan yang lebih luas.

Infrastruktur yang baik menjadi asas penting kepada kemajuan komuniti dan integrasi luar bandar dengan arus pembangunan nasional.

Ironinya, keistimewaan program ini tidak terhenti pada aspek fizikal semata-mata. Kampung Angkat MADANI turut memberi tumpuan kepada pembangunan insan dan pengukuhan komuniti melalui pelaksanaan projek bukan fizikal.

Program kesihatan bergerak, mobilisasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bimbingan kanak-kanak dan remaja, serta sesi libat urus komuniti menunjukkan kesedaran bahawa pembangunan sebenar bermula dengan pemerkasaan semua lapisan anggota masyarakat.

Pendekatan ini membantu meningkatkan daya tahan komuniti, memperkasa kemahiran penduduk dan memupuk keyakinan diri dalam kalangan generasi muda luar bandar.

Penglibatan penduduk dalam pemilihan dan pelaksanaan projek juga menjadi elemen penting program ini. Pendekatan yang mengutamakan kefahaman terhadap cabaran akar umbi memberi ruang kepada komuniti untuk menyuarakan keperluan sebenar mereka.

Ini secara tidak langsung mewujudkan rasa tanggungjawab bersama dan meningkatkan peluang kejayaan projek kerana penduduk tidak lagi sekadar penerima bantuan, sebaliknya berperanan sebagai rakan strategik dalam melonjakkan aspek pembangunan kampung mereka.

Dari sudut komitmen kerajaan, peningkatan peruntukan kewangan dan skala pelaksanaan program ini mencerminkan kesungguhan untuk memastikan manfaatnya dapat dirasai secara meluas.

Peruntukan RM200 juta pada 2025 serta sasaran melibatkan 500 kampung menjelang 2026 menunjukkan keyakinan bahawa program ini mampu menjadi pemangkin kepada transformasi luar bandar yang lebih seimbang.

Perancangan berskala besar ini juga membuka peluang kepada penambahbaikan berterusan berdasarkan pengalaman pelaksanaan di lapangan.

Selain itu, sokongan kepada projek ekonomi kecil penduduk memberi isyarat bahawa kerajaan melihat pembangunan ekonomi desa sebagai pelaburan jangka panjang, bukan sekadar bantuan bersifat sementara atau jangka pendek.

Dengan bimbingan, latihan dan sokongan yang berterusan dari pelbagai agensi yang terlibat, inisiatif ini berpotensi melahirkan komuniti luar bandar yang lebih berdikari, produktif dan berdaya saing.

Hakikatnya, prestasi ekonomi kampung yang kukuh bukan sahaja meningkatkan pendapatan penduduk, malah menyumbang kepada kestabilan sosial dan pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan.

Menariknya, kejayaan pelaksanaan program Kampung Angkat MADANI turut diperkukuh dengan penglibatan aktif pelbagai kementerian, agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan dan sektor korporat melalui pendekatan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang lebih bermakna.

Penglibatan ini tidak lagi bersifat simbolik, sebaliknya menjurus kepada sumbangan kepakaran, sumber dan perancangan strategik yang memberi manfaat langsung kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Melalui kerjasama seperti ini, aspek tanggungjawab sosial korporat bukan sahaja menjadi wadah untuk membantu komuniti luar bandar dari segi menyediakan kemudahan dan menambah peluang ekonomi, malah berperanan sebagai pemangkin kepada proses pembangunan luar bandar yang lebih tersusun dan berimpak tinggi.

Diharapkan agar pendekatan strategik dan menang-menang ini wajar dijadikan contoh dan motivasi kepada lebih banyak agensi kerajaan serta syarikat korporat untuk tampil berganding bahu dalam menjayakan inisiatif seumpama ini.

Langkah itu sekali gus memperluas jaringan kerjasama strategik demi memastikan pembangunan luar bandar terus dipacu secara inklusif, mampan dan berpaksikan kepentingan rakyat.

Secara keseluruhannya, Kampung Angkat MADANI mencerminkan perubahan pendekatan pembangunan luar bandar yang lebih berteraskan kesejahteraan rakyat. Ia menggabungkan aspek fizikal dan pembangunan insan, sambil menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan dan komuniti.

Dengan pelaksanaan yang konsisten, telus dan berfokus kepada keperluan sebenar penduduk, program ini berpotensi menjadi model pembangunan desa yang berkesan dan relevan dengan cabaran semasa.

Kampung Angkat MADANI bukan sekadar usaha menutup jurang bandar–luar bandar, tetapi satu langkah strategik untuk membina komuniti luar bandar yang lebih berdaya tahan, bermaruah dan mampu bergerak seiring dengan pembangunan negara.

Jika momentum ini dikekalkan, program ini berpotensi meninggalkan impak positif yang berkekalan kepada landskap pembangunan luar bandar Malaysia.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Noor Mohamad Shakil Hameed
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat
Universiti Putra Malaysia