Bukit Dinding: Benteng akhir & kelangsungan Wangsa Maju

Bukit Dinding menjadi pilihan aktiviti mendaki yang berketinggian 291 meter dan berkeluasan lebih 300 ekar/Fail BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Ancaman pembangunan berkepadatan tinggi mengancam ekosistem, keselamatan tanah runtuh dan banjir kilat kepada penduduk kaki bukit.
  • Bukit Dinding menyediakan ruang rekreasi terapeutik dan menyokong kesihatan mental komuniti pascapandemik.
  • Nilai saintifik dan pendidikan sebagai makmal hidup memerlukan pemuliharaan melalui penglibatan aktif komuniti.

Kuala Lumpur sering kali digambarkan sebagai “hutan konkrit” yang didominasi oleh pencakar langit, keriuhan trafik dan kesesakan pembangunan mega. Namun disebalik kemajuan pesat, tahukah anda bahawa masih wujud picisan “pulau hijau” yang menjadi talian hayat bagi warga kota?

Salah satu permata tersembunyi yang kini semakin mendapat perhatian adalah Bukit Dinding yang terletak di antara kawasan Wangsa Maju dan Setiawangsa. Berketinggian 291m, Bukit Dinding memegang gelaran sebagai salah satu titik tertinggi semulajadi di pinggir ibu kota.

Sejarahnya sebagai bekas ladang getah telah berubah menjadi sebuah hutan sekunder yang kaya dengan biodiversiti.

Warisan Hijau yang Kian Terancam

Disebalik kehijauannya, keunikan Bukit Dinding bukan sahaja mendapat tempat di hati pencinta alam tetapi juga para pemaju ‘kompleks berbatu’. Konflik guna tanah di cerun Bukit Dinding bukanlah cerita baharu namun adalah isu panjang yang terus membimbangkan.

Cadangan pembangunan projek perumahan berkepadatan tinggi bukan sahaja mengancam ekosistem malah menimbulkan risiko keselamatan seperti tanah runtuh dan banjir kilat kepada ribuan penduduk terutamanya di kaki bukit.

Di sinilah peranan komuniti menjadi sangat kritikal. Melalui pelbagai persatuan penduduk dan badan bukan kerajaan, suara masyarakat bersatu menuntut agar Bukit Dinding terus dipelihara dari penerokaan berleluasa.

Ruang Rekreasi, Kesejahteraan Mental dan Masyarakat Harmoni

Dalam era pascapandemik, kepentingan ruang hijau terhadap kesihatan mental tidak boleh disangkal lagi. Bukit Dinding menjadi ‘gym semulajadi’ bagi ribuan pendaki, pelari denai, dan penunggang basikal setiap minggu.

Aktiviti rekreasi di sini bukan sekadar tentang membakar kalori, namun ia adalah tentang mempunyai ruang untuk bernafas. Bunyi kicauan burung, deruan air terjun, pemandangan panoramik dan suhu udara yang lebih dingin memberi kesan terapeutik yang menenangkan.

Kajian berkaitan konsep shinrin-yoku atau mandi hutan (forest-bathing) telah membuktikan bahawa pendedahan kepada persekitaran hijau berpotensi mengurangkan hormon kortisol yang menyebabkan tekanan. Kemusnahan Bukit Dinding bermakna warga kota turut akan kehilangan ‘ruang penyembuhan’.

Makmal Alam: Lokasi Pembelajaran dan Penyelidikan

Nilai saintifik Bukit Dinding seringkali dipandang rendah. Sebagai hutan sekunder yang matang, kawasan ini merupakan kediaman kepada lebih seratus spesies flora dan fauna termasuklah burung enggang, rama-rama, katak dan pelbagai spesis serangga yang jarang ditemui di kawasan bandar.

Bagi institusi pendidikan berhampiran, Bukit Dinding juga berfungsi sebagai “makmal hidup” yang tidak ternilai.

Pelajar sekolah dan universiti berkesempatan mempelajari tentang ekologi, pemuliharaan tanah, dan ekosistem hutan secara langsung di sini. Lokasinya yang strategik menjadikan ia sebagai ruang penyelidikan yang mudah diakses oleh ahli botani, zoologi mahupun saintis hutan untuk mengkaji bagaimana biodiversiti dapat bertahan di tengah-tengah kepadatan lanskap urban.

Pengecilan atau kemusnahan Bukit Dinding bukan sahaja menyebabkan kehilangan pokok, tetapi kita juga pasti kehilangan pangkalan data biologi yang penting untuk generasi akan datang.

Peranan Komuniti sebagai Penjaga Kelestarian

Kekuatan utama Bukit Dinding terletak pada komunitinya. Berbeza dari kawasan hijau lain yang bergantung kepada seliaan pihak berkuasa tempatan, Bukit Dinding mempunyai ‘barisan penjaga’ yang terdiri dari penduduk setempat. Komuniti di sini bukan sahaja sekadar menggunakan ruang, tetapi mereka aktif menguruskan kelestariannya.

Antara komuniti yang aktif dalam usaha pemuliharaan adalah Persatuan Sahabat Rimba Bukit Dinding atau Friends of Bukit Dinding (FoBD) dimana peranan mereka merangkumi pemantauan risiko, aktiviti pembersihan, dan program advokasi serta kesedaran.

Melalui penglibatan secara fizikal mahupun melalui sosial media, ahli komuniti bertindak sebagai agen aktif yang menyokong program penyelidikan, pendidikan dan kemasyarakatan. Penyertaan secara sukarela membuktikan bahawa rakyat kini tidak lagi pasif, sebaliknya menjadi rakan strategik dalam perancangan bandar mampan.

Peranan komuniti yang kental mempertahankan kawasan ini harus diberi perhatian dan didengar. Bukit Dinding adalah simbol ketahanan alam semulajadi dan bukti semangat komuniti yang enggan melihat khazanah ini lenyap ditelan pembangunan.

Keseimbangan Ekosistem Bandar

Secara teknikal, Bukit Dinding berfungsi sebagai penapis udara semula jadi. Di kawasan seperti Wangsa Maju yang padat, kehadiran hutan terbukti membantu mengurangkan kesan “pulau haba bandar” (Urban Heat Island).

Akar-akar pokok bertindak sebagai sistem kejuruteraan semulajadi yang mencengkam tanah dan mengawal aliran air hujan sekaligus mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan hilir.

Fungsi ekosistem yang mengambil masa berdekad untuk dibentuk ini semestinya tidak berbaloi untuk dikorbankan demi keuntungan jangka pendek projek hartanah.Kemajuan negara tidak seharusnya menyisihkan kepentingan alam sekitar dan mengganggu integriti fizikal Bukit Dinding.

Suara untuk Masa Depan

Bukit Dinding adalah ujian iltizam politik dan kesedaran sivik kita dalam menjaga alam sekitar. Ia adalah simbol perjuangan antara kehendak kemajuan dan keperluan manusia terhadap alam.

Pasti ramai bersetuju bahawa kita memerlukan lebih banyak kawasan seperti Bukit Dinding di Kuala Lumpur, bukan sebagai tapak binaan penempatan, namun sebagai warisan yang harus dipelihara.

Mewartakan Bukit Dinding sebagai Hutan Simpan Kekal di kawasan bandar adalah antara langkah tepat yang boleh diambil pihak berkuasa.

Mempertahankan kelestarian Bukit Dinding bukan sekadar tentang menyelamatkan pokok, tetapi juga memelihara identiti dan kesejahteraan komuniti kita.

Sebelum jentolak meratakan puncaknya, beringatlah kita bahawa “sekali bukit diratakan, tiada sejumlah wang atau kecanggihan teknologi yang mampu mengembalikannya fungsinya semula.“

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Gs. Dr. Azita Ahmad Zawawi
Pensyarah Kanan
Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar
Universiti Putra Malaysia
e-mel: azitazawawi@upm.edu.my