fb fb fb fb fb

Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, langkah penting reformasi ekonomi negara - Penganalisis

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff

KUALA LUMPUR, 13 Januari - Pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) Zon Ekonomi Khas Johor Bahru-Singapura merupakan langkah penting dalam reformasi struktur ekonomi negara.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpandangan penubuhan zon itu akan menyelesaikan pelbagai kekangan dalam aktiviti ekonomi rentas sempadan.

Beliau berkata, menerusi MOU tersebut, karenah birokrasi juga akan dapat diatasi, selain meningkatkan mutu perkhidmatan kerajaan kedua-dua negara.

"Kalau kita lihat dari segi urusan perdagangan dan pemindahan kargo, urusan itu akan jadi lebih cepat, cekap dan selamat dengan melalui apllikasi teknologi terkini berkemungkinan menggunakan teknologi rantaian blok.

"Oleh itu tidak mustahil kita akan lihat negeri Johor akan kekal menarik pelaburan langsung asing yang tertinggi setiap tahun, sekali gus akan menjadikan Malaysia kekal berdaya saing dan mampan dari segi ekonominya," katanya ketika dihubungi RTM.

Tambah Dr. Ahmed Razman, beliau yakin Zon Ekonomi Bebas serta projek mega, RTS Link Johor Bahru-Singapura yang akan beroperasi pada 2027 akan mengukuhkan lagi kedudukan Singapura sebagai rakan dagang dan pelaburan utama negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN