KUALA LUMPUR, 14 Januari- Seramai 64,511 peserta terdiri daripada lepasan universiti dan mahasiswa menyertai program di bawah Professional Training and Education For Growing Entrepreneurs (Protege) anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) setakat tahun lepas.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata jumlah itu mewakili 84 peratus daripada sasaran jumlah penyertaan bagi inisiatif tersebut iaitu 76,690 orang menjelang 2025.
"Ini adalah pencapaian yang sangat memberangsangkan untuk kementerian ini terus melatih bakal pelapis negara.
"Menjelang 2030, kita sasarkan Malaysia sebagai negara keusahawanan yang unggul dan program Protege ini merupakan program yang bagus untuk membangunkan golongan graduan dan mahasiswa kita," katanya.
Ewon berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Protege @ KUSKOP 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Karnival tersebut adalah permulaan kepada enam siri karnival yang akan diadakan di seluruh negara iaitu di Zon Utara, Selatan, Timur dan Borneo.
Ia bagi mempromosikan program keusahawanan dan kebolehpasaran yang dilaksanakan oleh KUSKOP di bawah Protege.
Ujar Ewon, sebanyak RM30 juta peruntukan disediakan kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi pelaksanaan program keusahawanan dan kebolehpasaran yang dilaksanakan oleh Protege.
Beliau dalam majlis sama turut melancarkan program Sembang Protege x KRU yang akan dilaksanakan dengan kerjasama KRU Studios.