fb fb fb fb fb

Syarikat Jerman kekal optimis terhadap Malaysia meski ketidaktentuan global berterusan

Foto Hiasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Syarikat-syarikat Jerman di Malaysia terus menunjukkan keyakinan tinggi terhadap persekitaran perniagaan tempatan, berdasarkan Tinjauan World Business Outlook Spring 2025 terkini.

Tinjauan yang dijalankan oleh Dewan Perdagangan dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC) mendapati, 91 peratus responden menilai situasi perniagaan masing-masing sebagai baik atau memuaskan, menandakan tahap keyakinan berterusan di sebalik landskap ekonomi global yang tidak menentu.

''Edisi terbaharu ini menunjukkan daya tahan yang semakin meningkat, dengan 93 peratus syarikat menjangkakan keadaan perniagaan akan kekal atau bertambah baik dalam tempoh 12 bulan akan datang, iaitu peningkatan 30 peratus berbanding tahun 2024.

''Lonjakan ini mencerminkan pemulihan sentimen positif dan keyakinan baharu terhadap kedudukan Malaysia sebagai destinasi perniagaan yang stabil dan menarik,'' jelas MGCC dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, komuniti perniagaan kekal terdedah kepada cabaran global terutamanya disebabkan faktor ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan, dan pemulihan ekonomi yang tidak sekata.

Dalam konteks ini, 85 peratus responden masih berpandangan prospek ekonomi tempatan sebagai stabil atau menggalakkan, meskipun jumlah ini susut 12 peratus berbanding tahun sebelumnya.

''Faktor seperti infrastruktur stabil, kos operasi kompetitif, tenaga kerja mahir dan hubungan dua hala yang kukuh menjadikan Malaysia sebagai hab serantau penting untuk pelaburan dan logistik.

''Walaupun landskap global yang kompleks dan sentiasa berubah akibat ketegangan geopolitik, perubahan dasar perdagangan dan ketidaktentuan ekonomi, syarikat Jerman di Malaysia tetap optimistik terhadap prospek jangka masa panjang negara ini,'' ujar Ketua Eksekutif MGCC, Jan Noether.

Tinjauan dua kali setahun itu melibatkan 104 responden dari kalangan syarikat ahli MGCC di Malaysia, kebanyakannya dalam sektor pembuatan, perdagangan dan perkhidmatan.

ROSLINA BINTI DIN