fb fb fb fb fb

Skop pengecualian cukai perkhidmatan bagi sektor logistik, penyenggaraan diperluas

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan / Foto Fail

PUTRAJAYA, 31 Mac - Kementerian Kewangan telah memperluaskan skop pengecualian Cukai Perkhidmatan (CP) bagi sektor logistik untuk membantu mengurangkan kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat serta insiden cukai berganda bagi sektor tersebut.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata bagi mengurangkan lagi impak kepada operasi harian aktiviti logistik dan secara tidak langsung kepada pengguna, kerajaan bersetuju supaya pindaan dibuat kepada Kumpulan J: Perkhidmatan Logistik dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Cukai Perkhidmatan 2018 iaitu Butiran 1(a) berkenaan perkhidmatan logistik dan Butiran 1(b) berkenaan perkhidmatan penghantaran atau pengedaran atau pengangkutan barang digabungkan sebagai satu butiran.

"Melalui penggabungan itu, skop kemudahan pengecualian antara perniagaan (B2B) diluaskan iaitu penyedia perkhidmatan logistik yang berada dalam Butiran 1(a) kini layak mendapat pengecualian yang lebih luas dengan tidak lagi perlu membayar cukai perkhidmatan ke atas perolehan perkhidmatan penghantaran atau pengedaran atau pengangkutan barang yang sebelum ini berada di bawah Butiran 1(b).

"Sebelum ini, penyedia perkhidmatan logistik yang berada dalam Butiran 1(a) hanya layak mendapat pengecualian cukai ke atas perolehan perkhidmatan yang berada dalam Butiran 1(a) yang sama," katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata semua perkhidmatan di bawah Kumpulan J: Perkhidmatan Logistik yang dibekalkan di dalam dan di antara Kawasan Khas/Kawasan Ditetapkan atau diantara Kawasan Khas dengan Kawasan Ditetapkan atau sebaliknya tidak tertakluk kepada kenaan CP kecuali perkhidmatan Ejen Kastam yang kekal
dikenakan CP seperti layanan terdahulu.

"Oleh yang demikian, Zon Perdagangan dan Perindustrian Bebas seperti Port Klang Free Zone dan Pelabuhan Barat di Selangor serta Pelabuhan Pasir Gudang di Johor akan memperolehi manfaat daripada pengecualian ini," katanya.

Tambah Amir Hamzah, pengecualian daripada membayar cukai perkhidmatan ke atas caj perkhidmatan penghantaran laut bagi semua barang yang dihantar menggunakan mod pengangkutan laut, terhad kepada perjalanan/destinasi Semenanjung ke Sabah/ Sarawak/Labuan; Sabah/Sarawak/Labuan ke Semenanjung dan perjalanan di antara Sabah, Sarawak dan Labuan.

Dalam pada itu, kerajaan juga bersetuju supaya pengecualian membayar cukai perkhidmatan diberikan kepada perkhidmatan penyenggaraan.

Ini terutamanya yang berkaitan dengan perkhidmatan pembaikan bangunan rumah kediaman; kumpulan wang pelepas (sinking fund) dan perkhidmatan penyenggaraan berkaitan tanah atau bangunan bagi kegunaan kediaman disediakan oleh pemaju, badan pengurusan bersama, perbadanan pengurusan atau persatuan kediaman.

"Ini bermaksud apa-apa perkhidmatan penyenggaraan dan pembaikan di premis kediaman seperti pembaikan bumbung rumah atau apa-apa peralatan dan kelengkapan yang menjadi sebahagian daripada premis kediaman seperti lif, penyaman udara serta sistem pemanas air tidak dikenakan CP," katanya.

Amir Hamzah berkata, penambahbaikan itu dibuat susulan daripada peluasan skop pengecualian cukai perkhidmatan bagi sektor logistik yang diumumkan pada 11 Mac lalu.

“Pengecualian Cukai Perkhidmatan bagi sektor logistik dan penyenggaraan telah disediakan atas keprihatinan kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan pada masa yang sama, memastikan sektor perkhidmatan negara terus berdaya saing," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN