SUBANG, 22 Februari - Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) memperkenalkan Sistem E-RMR bagi memperkasa pelaksanaan Program Rumah Mesra Rakyat (RMR).
Pengerusinya, Datuk Husam Musa berkata, sistem ini antara usaha menambah baik sistem serta membolehkan penyediaan RMR ditingkatkan daripada 3,500 unit setahun kepada 10,000 unit.
Sistem E-RMR yang lengkap itu mampu menjimatkan kos operasi serta masa kakitangan dan mempercepat pembayaran kepada kontraktor.
Sehingga hari ini, SPNB telah berjaya melaksanakan sebanyak 65,758 unit RMR di seluruh negara.
Sementara itu katanya, penyedia rumah mampu milik SPNB sedang mengkaji cadangan untuk memasang panel solar di unit kediaman yang dibina syarikat itu.
Walaupun cadangan tersebut masih di awal perbincangan, namun perkara itu dilihat bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan penggunaan teknologi hijau di negara ini.
“Kita terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pengeluar untuk memasang panel solar di rumah kediaman bawah program Rumah Mesra Rakyat (RMR),” katanya kepada media selepas merasmikan Sistem E-RMR di sini.
Beliau berkata pihak ketiga atau syarikat yang terlibat dalam pemasangan panel solar itu boleh menyediakan bantuan kewangan kepada pemilik rumah bagi menampung kos pemasangan dan dapat meraih manfaat menerusi tenaga elektrik yang terhasil yang akan dijual kepada TNB.