PUTRAJAYA, 19 Jun – Sektor perkhidmatan terus mencatatkan dominasi dalam guna tenaga negara bagi tahun 2022 dengan melibatkan 5.8 juta orang pekerja, bersamaan 58.3 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor perkhidmatan diikuti oleh sektor pembuatan yang merekodkan 2.3 juta pekerja, dengan kedua-dua sektor mencatat pertumbuhan tahunan positif dalam guna tenaga berbanding tahun asas 2015.
Sebaliknya, sektor pembinaan, pertanian serta perlombongan dan pengkuarian mencatatkan penurunan bilangan pekerja pada tahun yang sama.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin memaklumkan perubahan tersebut mencerminkan anjakan landskap pasaran buruh negara, terutamanya selepas kesan pandemik COVID-19.
“Trend ini menunjukkan transformasi struktur guna tenaga negara ke arah sektor yang lebih berasaskan perkhidmatan dan teknologi,” katanya.
Dalam kategori jenis pekerjaan dan tahap kemahiran, pekerja bergaji sepenuh masa kekal sebagai komponen terbesar dalam pasaran buruh, melibatkan 8.6 juta orang atau 86.1 peratus daripada jumlah guna tenaga pada 2022.
Dari sudut komposisi negeri, Selangor mencatat bilangan pekerja tertinggi, iaitu seramai 2.7 juta orang, mewakili 26.8 peratus daripada keseluruhan guna tenaga di Malaysia.