WASHINGTON, 22 Jun – Rundingan tarif antara Malaysia dan Amerika Syarikat menunjukkan perkembangan positif, menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz susulan lawatan kerjanya ke Washington dari 18 hingga 20 Jun 2025.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, beliau memaklumkan delegasi Malaysia telah mengadakan mesyuarat berasingan bersama Wakil Perdagangan Amerika Syarikat, Duta Jamieson Greer, serta Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick.
“Kedua-dua pihak komited untuk memuktamadkan rundingan sebelum tempoh penangguhan 90 hari ke atas pelaksanaan tarif tamat,” katanya.
Tengku Zafrul turut menyatakan bahawa eksport Malaysia ke Amerika Syarikat mencatatkan pertumbuhan dua digit selama lapan bulan berturut-turut, mencerminkan kekuatan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.
Menurut beliau, eksport negara banyak menyokong industri utama di Amerika Syarikat termasuk sektor elektrik dan elektronik, semikonduktor, peranti perubatan serta jentera.
MITI yakin rundingan tersebut bakal memperkukuh rantaian bekalan negara, memberikan manfaat langsung kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi.
Langkah itu juga dilihat mampu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan serantau, sejajar dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam menjayakan agenda ekonomi progresif dan inklusif.