PUTRAJAYA, 19 Jun – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dijangka dimuktamadkan oleh Jemaah Menteri minggu hadapan, bakal membuka lebih banyak peluang dan ruang pertumbuhan kepada gerakan koperasi sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi negara.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata kementeriannya telah mengemukakan beberapa cadangan dan inisiatif khusus untuk sektor koperasi dalam tempoh perancangan lima tahun RMK13, iaitu dari tahun 2026 hingga 2030.
“Saya yakin cadangan ini akan menjadi sebahagian daripada agenda RMK13 negara yang akan dimuktamadkan oleh Kabinet minggu hadapan,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK) 2025, di sini hari ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Lt Jen (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal, serta Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.
Menurut Ewon, antara sasaran utama dalam RMK13 ialah untuk menjadikan gerakan koperasi sebagai antara pemacu utama ekonomi, dengan sasaran perolehan mencecah RM100 bilion menjelang 2030.
“Kita bukan sahaja menyasarkan peningkatan jumlah perolehan, malah menekankan peranan koperasi dalam menyumbang lebih besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya lagi.
Terdahulu, Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa RMK13 akan dibentangkan di Parlimen pada 28 Julai ini.
Mengulas perkembangan sektor koperasi, Ewon memaklumkan lebih 1,000 koperasi baharu didaftarkan setiap tahun dalam dua tahun kebelakangan ini, mencerminkan minat dan penglibatan aktif rakyat Malaysia dalam bidang tersebut.
Beliau menyifatkan peningkatan itu sebagai hasil usaha berterusan pelbagai pihak termasuk Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan ANGKASA dalam mempromosikan koperasi sebagai sebahagian daripada gaya hidup rakyat.
Dalam pada itu, Ewon turut mengumumkan, Majlis Penutupan Hari Koperasi Negara 2025 akan diadakan pada 27 Julai ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.