fb fb fb fb fb

Rizab antarabangsa BNM berjumlah AS$113.8 bilion pada 29 Mac 2024

BNM

KUALA LUMPUR, 5 April- Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$113.8 bilion pada 29 Mac 2024, berbanding AS$113.4 bilion pada 15 Mac 2024.

Menurut BNM, paras rizab itu telah mengambil kira perubahan suku tahunan bagi penilaian semula pertukaran asing.

“Paras rizab itu memadai untuk membiayai 5.6 bulan import barangan dan perkhidmatan dan 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek,” menurut kenyataan hari ini.

Komponen utama rizab antarabangsa meliputi rizab mata wang asing berjumlah AS$101.3 bilion, diikuti kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.3 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (AS$5.7 bilion), emas (AS$2.8 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.7 bilion).

Jumlah aset sebanyak RM642.91 bilion merangkumi emas dan pertukaran asing dan rizab lain termasuk SDR (RM538.96 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM13.0 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM7.62 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM24.57 bilion), tanah dan bangunan (RM4.12 bilion) dan aset-aset lain (RM54.63 bilion).

BNM memaklumkan, modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM196.32 bilion), mata wang dalam edaran (RM168.63 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM149.02 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM6.14 bilion), deposit lain (RM62.79 bilion), kertas Bank Negara (RM25.66 bilion), peruntukan SDR (RM30.21 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM4.0 bilion).

SITI AISHAH MD ISA